
SIBU: Sebuah kipas terbakar akibat litar pintas dalam kejadian di sebuah rumah di No. 1B, Lorong Wawasan 20E di sini, tengah hari tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu 12.50 tengah hari sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah dikerahkan ke lokasi.

Menurutnya, setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi kejadian, didapati kebakaran berlaku di dalam sebuah bilik di tingkat dua sebuah rumah struktur kekal.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati kebakaran berpunca daripada litar pintas yang melibatkan sebuah kipas.
“Bagaimanapun, kebakaran tersebut tidak melibatkan struktur bangunan,” katanya dalam satu kenyataan.

PKO kemudian menjalankan operasi pemadaman dengan membentang satu aliran sepanjang 200 kaki menggunakan satu nozel dengan sumber air daripada pam jentera sehingga api berjaya dipadamkan sepenuhnya.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut.
Oleh Tarani Lanting