DALAT: Keberadaan kiosk khas peniagaan di `waterfront’ atau tebingan sungai dipercayai dapat menceriakan lagi suasana.
Cadangan itu datang daripada Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga Dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato’ Sri Fatimah Abdullah, setelah mendapati bahawa waterfront bukan hanya sebagai tempat beriadah tetapi untuk berniaga kecil-kecilan oleh penduduk tempatan.
Justeru, beliau membuat permintaan khusus kepada Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak(PPES) untuk membekalkan kiosk kepada kampung yang mempunyai waterfront di daerah ini.
“Saya sebenarnya tertarik dengan kiosk yang telah ditempatkan di Kampung Nangka Sibu baru-baru ini, ia sangat istimewa dan lengkap dengan tempat untuk menyambung elektrik. Saya tak tahu pihak mana yang menyedia atau menghasilkannya.
“Jadi saya di sini, dengan secara terbuka memohon kepada PPES untuk menyediakannya untuk kegunaan di kampung di sini, terutama yang sudah ada waterfront,” katanya lagi.
Idea itu, katanya, adalah kerana peniaga makanan dan minuman di waterfront Kampung Brunei di sini telah mulai mendapat perhatianpenduduk tempatan dan malah dari luar kawasan terutama pada waktu malam.
“Saya syorkan ini kepada PPES kerana mereka sememangnya terkenal dengan pemberi bantuan kepada usahawan tempatan dari segi peralatan dan sebagainya.
“Jika cadangan itu diterima oleh mereka, ia juga boleh dijadikan untuk memperomosikan PPES itu sendiri dengan nama perbadanan ditempelkan pada kiosk tersebut.
“Terpampanglah nama PPES selagi kiosk itu masih boleh digunakan, dan tergantung pada bahan binaan yang diguna pakai untuk membuatkan kiosk,” katanya lagi.
Sekarang kampung di Dalat yang sudah mempunyai waterfront ialah Kampung Brunei, Kampung Tanam, Kampung Kut Muara, dan semestinya ibu segala waterfront di daerah ini iaitu Waterfront Pekan Dalat, manakala beberapa buah lagi di kampung akan menyusul.
“Malah bukan di waterfront sahaja, kiosk yang special ini juga boleh ditempatkan di Pekan Sabtu, atau tempat tumpuan ramai,” katanya lagi.
Oleh Henry B Siyu