Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Kibarkan Jalur Gemilang, tanda cinta pada negara
  • NASIONAL

Kibarkan Jalur Gemilang, tanda cinta pada negara

Utusan Sarawak 10 months ago
AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan Gan Ay Ling (dua, kiri) pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang 2024 peringkat negeri, malam tadi. FotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Ogos, bulan yang sinonim dengan semangat kebangsaan dan patriotisme bagi seluruh rakyat Malaysia dengan menjelang sambutan Hari Kebangsaan pada hujung bulan ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 pada 21 Julai lepas, menyeru semua lapisan masyarakat untuk mengangkat semangat kemerdekaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman dan pejabat masing-masing. 

Misi itu sebagai tanda taat setia, pengorbanan dan mendorong semangat kemerdekaan yang diperoleh tanah air sejak 67 tahun lepas. 

Bagaimanapun, setakat ini kempen kibar Jalur Gemilang masih kelihatan hambar dan kurang mendapat sambutan yang diharapkan. 

Tinjauan Bernama di beberapa lokasi di seluruh negara mendapati aktiviti memasang Jalur Gemilang di kawasan perumahan dan premis perniagaan agak kurang, malah bendera Malaysia kebanyakannya hanya dipasang di jalan raya utama dan bangunan kerajaan.

BARANGAN terpakai juga digunakan untuk membuat Jalur Gemilang semasa tinjauan fotoBernama di lobi Kementerian Komunikasi sempena sambutan Bulan Kebangsaan. Kempen Kibar Jalur Gemilang 2024 dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 21 Julai lepas bertujuan menyuburkan semangat patriotisme serta cintakan negara dalam kalangan rakyat Malaysia menjelang sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2024. Sambutan Hari Kebangsaan 2024 pada 31 Ogos depan dijadualkan berlangsung di Putrajaya, manakala sambutan Hari Malaysia pada 16 September pula di Kota Kinabalu, Sabah. FotoBERNAMA

Di ibu negara, Jalur Gemilang dapat dilihat dikibarkan di Lebuhraya Sultan Iskandar dan Jalan Tun Razak serta Balai Polis Wangsa Maju, manakala di kawasan kediaman hanya beberapa perumahan didapati mengibarkan Jalur Gemilang.

Bagaimanapun, situasi berbeza di Putrajaya apabila ‘bahang’ sambutan Hari Kebangsaan semakin terasa terutama di bangunan kerajaan yang telah mula dihiasi dengan Jalur Gemilang.

Tidak terkecuali Kementerian Komunikasi dalam menjadi perintis untuk menghiasi bangunan dan pejabat dengan Jalur Gemilang, malah petugas kementerian turut mengambil inisiatif menghasilkan replika Jalur Gemilang menggunakan kotak telur terpakai yang diletakkan di lobi kementerian itu.

Jambatan Seri Gemilang merentangi Tasik Putrajaya yang sering menjadi tumpuan ramai juga tidak ketinggalan dengan hiasan Jalur Gemilang, sekali gus menambah ‘seri’ Putrajaya yang sekali lagi menjadi lokasi sambutan Hari Kebangsaan ke-67.

Sementara itu, rata-rata orang ramai yang ditemui Bernama menyifatkan masih terlalu awal untuk memasang Jalur Gemilang di kediaman mereka, namun ada yang menyatakan hasrat untuk mula memasang bendera Malaysia bermula bulan ini untuk mengambil semangat Bulan Kebangsaan.

JALAN-jalan utama di Putrajaya dilihat telah dihiasi dengan Jalur Gemilang bertujuan untuk menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan semasa tinjauan fotoBernama di sekitar Putrajaya, semalam. Kempen Kibar Jalur Gemilang 2024 dilancarkan Perdana Menteri 21 Julai lalu bertujuan menyuburkan semangat patriotisme serta cintakan negara dalam kalangan rakyat Malaysia menjelang sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2024. Sambutan Hari Kebangsaan 2024 pada 31 Ogos depan dijadualkan berlangsung di Putrajaya, manakala sambutan Hari Malaysia pada 16 September pula di Kota Kinabalu, Sabah. FotoBERNAMA

Seorang suri rumah, Siti Hajar Mohtar, 31, dari Kampung Padang Keladi, Melaka berpendapat masih terlalu awal untuk penduduk memasang bendera kerana masih ada masa kira-kira sebulan lagi untuk menyambut Hari Kebangsaan.

“Selalunya, penduduk di Kampung Padang Keladi terutama yang tinggal di tepi jalan utama suka menghiasi rumah dengan kibaran Jalur Gemilang. Mungkin mereka rasa masih awal lagi dan menunggu hujung minggu ataupun cuti umum untuk hias kediaman mereka,” katanya.

Turut senada, Ahmad Jaafar, 56, dari Kuala Perlis, Perlis berkata dia belum memasang Jalur Gemilang di kawasan rumahnya pada masa ini dan akan berbuat demikian pada pertengahan Ogos kerana lebih semangat memasang bendera menjelang sambutan Hari Kebangsaan.

Bagi Adzhar Bakar, 63, dari Taman Impian, Kedah pula, dia belum membeli Jalur Gemilang untuk dipasang di hadapan rumahnya seperti setiap tahun dan akan melakukaknya dalam masa terdekat.

Seorang suri rumah dari Pulau Pinang, Zia Nabilah Zakaria, 35, berkata dia dan suami memang merancang untuk memasang Jalur Gemilang di rumah mereka di Teluk Air Tawar pada bulan ini bagi menyemarakkan lagi suasana sambutan.

Pemilik sebuah kafe dan kek di Kelantan, Wan Nur Shuhada Wan Norzi, 53, berkata dia merancang untuk mengibarkan Jalur Gemilang di premisnya pada minggu depan.

“Kita baru habis acara jualan festival baru-baru ini di perkarangan Dataran Rehal, jadi saya berhajat pasang bendera dan hias premis minggu depan bagi meraikan bulan kemerdekaan seperti tahun-tahun sebelum ini,” katanya.

Bagi penduduk peneroka Felda Jengka 24 di Pahang Razak Daud, 64, Jalur Gemilang biasanya akan mula meriah dipasang menjelang pertengahan Ogos.

“Di Felda Jengka, kami fokus dulu kibaran bendera Pahang sempena ulang tahun keputeraan Sultan Pahang. Sudah selesai, barulah setiap rumah di sini akan lakukan kreativiti tersendiri pasang Jalur Gemilang dan akan ada juga pertandingan nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Darat, Batu Rakit Hilir, di Kuala Nerus, Terengganu Naqiuddin Abd Wahab berkata pihaknya merancang untuk mengedarkan satu Jalur Gemilang ke setiap rumah di kampung itu kira-kira dua minggu sebelum 31 Ogos, sebagai usaha memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.

Kempen kibar Jalur Gemilang bukan sekadar perayaan, tetapi juga simbol kesatuan dan perpaduan Malaysia sebagai sebuah negara yang berbilang kaum dan budaya. 

Melalui kibaran Jalur Gemilang, rakyat bukan sahaja memperlihatkan rasa cinta kepada tanah air, malah mengingati dan menghargai jasa para pejuang kemerdekaan yang telah berkorban demi kemerdekaan dan kedaulatan negara ini.

Dengan semangat ini, seluruh lapisan masyarakat seharusnya meraikan Bulan Kebangsaan dengan penuh kegembiraan dan menunjukkan kepada dunia bahawa kita bangga menjadi rakyat Malaysia dengan mengibarkan Jalur Gemilang di setiap penjuru negara, di rumah, sekolah, tempat kerja dan bangunan awam. – Bernama

Continue Reading

Previous: PTPTN lanjut Kempen ‘Strukturkan Pinjaman Anda Serendah RM300’
Next: Sijil palsu: KPT buat laporan polis, pastikan tindakan tegas dikenakan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.