Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • KHMHR 2026 tarik lebih 4,200 peserta termasuk pelari dari 20 negara
  • SUKAN

KHMHR 2026 tarik lebih 4,200 peserta termasuk pelari dari 20 negara

Utusan Sarawak 7 hours ago
SIDANG MEDIA…Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah bercakap pada sidang media Larian Warisan Separuh Maraton Kuching (KHMHR) 2026, hari ini. Foto Norman B

PETRA JAYA: Larian Warisan Separuh Maraton Kuching (KHMHR) 2026 terus mengukuhkan kedudukannya sebagai acara pelancongan sukan bertaraf antarabangsa apabila berjaya menarik lebih 4,200 peserta termasuk pelari dari 20 negara.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penyertaan memberangsangkan itu membuktikan Kuching semakin mendapat pengiktirafan sebagai destinasi pilihan komuniti larian dari dalam dan luar negara.

“Ini sekali gus memperkukuh reputasi Sarawak sebagai destinasi pelancongan sukan bertaraf antarabangsa,” katanya.

RAKAM KENANGAN… Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah bersama penganjur dan para penaja merakam gambar kenangan pada sidang media Larian Warisan Separuh Maraton Kuching (KHMHR) 2026, hari ini. Foto Norman B

Abdul Karim berkata, daripada keseluruhan 4,200 peserta yang telah mengesahkan penyertaan, seramai 2,940 peserta atau 70 peratus adalah dari Sarawak, diikuti 672 peserta dari Semenanjung Malaysia, 420 peserta antarabangsa dan 168 peserta dari Sabah.

Katanya, acara yang memasuki edisi ketiga itu akan berlangsung pada 26 Julai ini dengan pelepasan peserta di Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), bersempena Festival Makanan Kuching.

Menurut beliau, penganjuran serentak kedua-dua acara itu memberi nilai tambah kepada peserta dan pengunjung apabila menggabungkan sukan, budaya, gastronomi serta pelancongan dalam satu pengalaman di bandar raya Kuching.

“Bertemakan ‘Hayati Warisan, Teruskan Langkah’, acara ini bukan sekadar larian, tetapi membawa peserta menikmati warisan, keindahan dan keunikan Kuching melalui laluan yang merangkumi bangunan bersejarah, Tebingan Kuching, mural budaya serta mercu tanda ikonik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Larian Warisan Separuh Maraton Kuching (KHMHR) 2026 di sini, hari ini.

Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan berkata, penganjuran acara itu turut memberi limpahan ekonomi kepada negeri apabila peserta dan pengunjung menginap di hotel, menikmati makanan tempatan serta melawat pelbagai tarikan pelancongan.

Beliau berkata, peserta boleh memilih tiga kategori larian iaitu separuh maraton 21 kilometer (KM), larian 10KM dan larian santai 5KM, dengan laluan bagi kategori 21KM dan 10KM telah diperakui oleh Persatuan Maraton dan Larian Jarak Jauh Antarabangsa (AIMS).

“Kita mahu menjadikan Kuching bukan sahaja sebagai bandar yang menarik untuk dilawati, tetapi juga sebuah bandar yang mesra pelari dengan pengalaman unik yang menggabungkan sukan, budaya dan keindahan alam semula jadi,” katanya.

Tambahnya, sebanyak RM61,000 hadiah wang tunai ditawarkan bagi kategori pertandingan, manakala pengambilan pek larian akan diadakan pada 24 dan 25 Julai di Hotel Pullman Kuching.

KHMHR 2026 dianjurkan oleh City Jogger’s Club (CJC) dengan kerjasama pelbagai agensi, penaja dan rakan strategik dalam usaha menjadikan Kuching sebagai bandar raya mesra pelari serta destinasi sukan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Oleh Norman B

Tags: Sukan

Continue Reading

Previous: Mbappe ingatkan masih “jauh lagi perjalanan” buat Perancis selepas mara ke separuh akhir
Next: Dani Olmo: Sepanyol fokus tumpaskan Belgium

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.