Keutamaan pulihkan bekalan air secepat mungkin – Lee

Facebook
WhatsApp
TINJAU...Menteri Pengangkutan, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin semasa turun padang meninjau kerja pembaikan paip utama 18 inci yang pecah berhampiran Bulatan Pujut 3 (GK) petang tadi.

MIRI:  Menteri Pengangkutan,  merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin, turun padang meninjau kerja pembaikan paip utama 18 inci yang pecah berhampiran Bulatan Pujut 3 (GK) petang tadi bagi mendapatkan perkembangan terkini insiden yang mengakibatkan gangguan bekalan air dan kesesakan lalu lintas di beberapa kawasan di bandar raya ini.

Beliau dimaklumkan oleh pihak Sarawak Water bahawa kerja pembaikan yang bermula seawal 4.00 pagi berjalan mengikut jadual dan dijangka siap sekitar 8.00 malam ini , sekiranya tiada sebarang masalah teknikal.

Namun, proses pemulihan bekalan air dijangka mengambil masa sehingga 12 jam lagi sebelum tekanan air kembali stabil.

Lee berkata, sebaik menerima aduan daripada penduduk di Permyjaya, Desa Senadin, Tudan dan kawasan sekitar berhubung gangguan bekalan air pada awal pagi, beliau segera menghubungi Sarawak Water bagi mendapatkan penjelasan mengenai punca kejadian serta memastikan tindakan segera diambil.

“Keutamaan kita sekarang ialah memastikan kerja pembaikan paip ini disiapkan dengan selamat dan secepat mungkin supaya bekalan air dapat dipulihkan secara berperingkat kepada semua kawasan yang terjejas.

” Saya memahami kesulitan yang dialami penduduk dan berharap mereka terus bersabar sementara kerja-kerja pembaikan diselesaikan,” katanya selepas mengadakan lawatan ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, Sarawak Water turut diarahkan menggerakkan semua sumber yang diperlukan bagi mempercepatkan kerja pembaikan, selain menyediakan lori tangki air ke kawasan yang memerlukan bekalan sementara.

Menurutnya, tindakan membuka beberapa injap sempadan bagi mengalihkan bekalan air ke kawasan tertentu juga membolehkan sebahagian pengguna menerima semula bekalan air pada sebelah petang.

“Kita menghargai usaha kakitangan Sarawak Water yang bertungkus-lumus sejak awal pagi untuk memastikan gangguan ini dapat diatasi secepat mungkin,” katanya.

Insiden membabitkan paip utama 18 inci jenis asbestos simen (AC) itu menjejaskan bekalan air di Piasau, Permyjaya, Tudan, Lutong, Senadin, Southlake, Vista Perdana, Kuala Baram dan kawasan sekitarnya.

Oleh Liong Chai Ling