
SAN FRANCISCO: Ketua Rondaan Sempadan Amerika Syarikat (AS), Michael Banks, mengumumkan peletakan jawatannya semalam, menurut media tempatan, lapor Xinhua.
Banks dalam temu bual bersama Fox News berkata peletakan jawatannya berkuat kuasa serta-merta.
“Sudah tiba masanya. Saya rasa saya telah berjaya mengembalikan keadaan ke landasan yang betul daripada sempadan yang paling tidak selamat, teruk dan kucar-kacir kepada sempadan paling selamat yang pernah disaksikan negara ini,” katanya.
Beliau berkata, selepas 37 tahun berkhidmat, sudah tiba masanya untuk beliau menikmati kehidupan bersama keluarga.
Pesuruhjaya Kastam dan Perlindungan Sempadan AS, Rodney Scott, mengucapkan terima kasih kepada Banks atas khidmatnya dalam satu daripada tempoh paling mencabar bagi keselamatan sempadan, lapor The Associated Press yang memetik kenyataan beliau.
Rondaan Sempadan AS ialah sebahagian daripada Kastam dan Perlindungan Sempadan AS, iaitu agensi di bawah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri.
Banks dilantik mengetuai Rondaan Sempadan AS pada 2025. – Bernama