
SIBURAN: Penyampaian maklumat berkaitan bantuan dan perkhidmatan kerajaan perlu diperkukuh di peringkat akar umbi, dengan ketua masyarakat dan ketua kampung memainkan peranan penting sebagai saluran utama kepada penduduk.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, langkah itu penting bagi memastikan penduduk luar bandar tidak tercicir daripada menerima manfaat pelbagai inisiatif kerajaan serta mengelakkan kekeliruan berkaitan bantuan yang disediakan.
“Antara isu yang sering dibangkitkan dalam sesi bersama Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) ialah permohonan bantuan asas, khususnya berkaitan pemasangan bekalan elektrik di rumah baharu di kawasan kampung.
“Maklumat yang diperoleh melalui program turun padang seperti Program Randau Komuniti UKAS 2026 perlu disalurkan semula kepada penduduk kampung secara berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penangguhan Program Randau Komuniti UKAS 2026 di Dewan Serbaguna Kampung Menjau, di sini hari ini.
Menurutnya, terdapat penduduk yang membina rumah namun tidak berkemampuan menanggung kos pemasangan elektrik, yang perlu dipohon melalui Skim Dana Permohonan Tambahan dan Lewat (ALAF) di Pejabat Daerah dengan pengesahan ketua kampung.
“Permohonan di bawah kategori pemohon lewat tidak dapat diluluskan segera kerana perlu melalui proses penelitian serta pertimbangan dalam peruntukan belanjawan tahun berikutnya.
“Justeru, penduduk perlu memahami bahawa proses ini mengambil masa kerana ia melibatkan perancangan dan kelulusan peruntukan kerajaan,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata bagi penduduk yang mampu menanggung sendiri kos pemasangan elektrik, mereka tidak perlu menggunakan borang ALAF, sebaliknya hanya perlu mengisi borang Sarawak Energy dengan pengesahan ketua kampung.
Tambahnya, bagi rumah di atas tanah tanpa geran, pengesahan ketua kampung diperlukan bagi mengesahkan status pemilikan sebelum permohonan dikemukakan kepada Sarawak Energy.
Roland yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat berkata Program Randau Komuniti menjadi platform penting kerana membolehkan rakyat mendapatkan maklumat terus daripada agensi kerajaan tanpa bergantung kepada sumber tidak rasmi.
“Program seperti ini penting kerana kita dapat turun sendiri dan lihat secara langsung, bukan melalui orang lain,” ujarnya.
Oleh Adele Rissa