
SEOUL: Presiden Persatuan Bola Sepak Korea (KFA) Chung Mong-gyu meletak jawatan sebagai ketua persekutuan bola sepak kebangsaan itu hari ini, lapor Agensi Berita Yonhap.
KFA menyatakan bahawa Chung menyerahkan surat peletakan jawatan rasminya awal hari ini selepas mempengerusikan mesyuarat terakhirnya bersama eksekutif kanan di Taman Bola Sepak Korea di Cheonan, kira-kira 90 kilometer di selatan Seoul.
Chung telah menerajui badan induk itu sejak Januari 2013.Pada 29 Mei, Chung mengumumkan bahawa beliau akan berundur daripada jawatan Presiden KFA selepas berakhirnya Piala Dunia FIFA yang sedang berlangsung.
Walaupun kejohanan itu dijadualkan tamat pada 20 Julai waktu Korea Selatan, Chung memilih untuk meninggalkan jawatannya dua minggu lebih awal susulan penyingkiran skuad kebangsaan yang lebih awal daripada dijangka di peringkat kumpulan.
Korea Selatan yang dibimbing oleh Hong Myung-bo, menduduki tempat ketiga dalam Kumpulan A dengan mengumpul tiga mata hasil daripada satu kemenangan dan dua kekalahan, sekali gus gagal melangkah ke pusingan 16 akhir sebagai antara lapan pasukan tempat ketiga terbaik.
Hong meletak jawatan serta-merta selepas nasib pasukannya dimuktamadkan.Chung sebelum ini menerima kritikan hebat atas apa yang didakwa oleh ramai pengkritik sebagai proses yang tidak telus ketika melantik Hong pada Julai 2024.
Kementerian Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan telah menjalankan siasatan menyeluruh terhadap operasi KFA pada tahun berkenaan dan merumuskan bahawa Chung serta pegawai kanan KFA yang lain mesti dikenakan tindakan tatatertib berikutan beberapa siri salah laku.
KFA kini terlibat dalam pertikaian undang-undang dengan kementerian tersebut, yang merancang untuk melancarkan satu lagi audit terhadap badan bola sepak itu susulan penyingkiran di Piala Dunia.
Mengikut peraturan KFA, seorang daripada empat naib presiden organisasi itu akan mengambil alih tugas sebagai presiden interim sebelum pemilihan baharu diadakan.
Sekiranya presiden yang meletak jawatan mempunyai baki tempoh perkhidmatan lebih daripada setahun, penggantinya mesti dipilih dalam masa 60 hari. Chung mempunyai baki hampir tiga tahun dalam penggal keempatnya sebagai ketua KFA.
Presiden KFA sebelum ini dipilih melalui undian oleh ahli kolej pemilihan yang terdiri daripada ketua-ketua persatuan bola sepak wilayah, ketua pegawai eksekutif kelab K League, pemain, jurulatih serta pengadil. Pemilihan tahun lepas menyaksikan 183 daripada 192 pengundi yang layak telah mengambil bahagian.
Bagaimanapun, Menteri Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan Chae Hwi-young baru-baru ini berkata beliau menyedari kebimbangan mengenai cara KFA memilih presidennya dan menambah, “Jika mereka memahami rintihan rakyat yang berasa kecewa (dengan prestasi di Piala Dunia), maka KFA tidak akan dapat mengekalkan proses pemilihannya sekarang.”
Mengenai proses pemilihan tersebut, KFA dikehendaki mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh badan sukan tertinggi negara, Jawatankuasa Sukan dan Olimpik Korea (KSOC). Sehubungan itu, KSOC dijadualkan meminda peraturannya mengenai pemilihan persatuan ahli pada mesyuarat agung 16 Julai ini.
Seorang pegawai KSOC berkata mesyuarat itu akan meneliti kemungkinan untuk melanjutkan tempoh 60 hari selepas peletakan jawatan pemimpin sedia ada, serta melaksanakan sistem pemilihan secara langsung.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh KFA, Chung mengucapkan terima kasih kepada peminat bola sepak atas sokongan mereka dan memohon maaf atas detik-detik yang mengecewakan mereka.
“Sambil menggalas tanggungjawab besar sebagai ketua KFA, saya tidak mengejar apa-apa melainkan pembangunan dan kegemilangan bola sepak Korea,” kata Chung.
“Ada ketikanya saya berjaya memenuhi jangkaan dan ada ketikanya saya hanya meninggalkan kekecewaan yang mendalam kepada anda. Semua kejayaan adalah hasil usaha pemain dan peminat kita, manakala semua kesilapan adalah tanggungjawab saya.”
Chung berkata beliau akan kekal menjadi peminat tegar bola sepak dan menambah, “Saya yakin bola sepak Korea akan mengatasi segala rintangan ini dan mencapai tahap yang hebat sekali lagi, seperti yang sentiasa dilakukannya sebelum ini.” – Bernama