
Premier Sarawak ketika berucap pada majlis Contemporary Leadership International Summit 2025 (CLIS2025) di Kuching hari ini. Foto UKAS
KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyuarakan kebimbangan terhadap ketidakpastian geopolitik dunia, termasuk tindakan kuasa besar menarik diri dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan perjanjian iklim global.
Katanya, keputusan sebegini bukan sahaja menjejaskan kesejahteraan sejagat, malah menghakis nilai kemanusiaan dalam usaha menangani cabaran global seperti kesihatan awam dan perubahan iklim.
“Terdapat negara yang secara tiba-tiba menarik diri dari WHO. Tindakan seperti ini merosakkan usaha membantu mereka yang memerlukan rawatan perubatan serta menghalang kemajuan dalam penyelidikan penyakit baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Contemporary Leadership International Summit 2025 (CLIS2025) di sini, hari ini.
Abang Johari turut menegaskan bahawa isu perubahan iklim tidak boleh diketepikan, lebih-lebih lagi apabila data menunjukkan pemanasan global semakin mendekati tahap kritikal.
Beliau menjelaskan bahawa pada Januari lalu, suhu global mencatatkan peningkatan 1.75°C berbanding tahap pra-industri, melebihi had 1.5°C yang ditetapkan dalam Perjanjian Paris.
Fenomena ini, katanya, telah memberi kesan ketara termasuk kejadian banjir luar biasa di Bintulu yang mencatatkan jumlah hujan 900 milimeter dalam sehari, terburuk dalam sejarah bandar itu.
“Kita di Sarawak sudah melihat kesannya. Ini bukan lagi sesuatu yang boleh dipandang ringan,” katanya.
Abang Johari berkata kegagalan pemimpin dunia bertindak secara bertanggungjawab terhadap isu-isu kritikal ini membuktikan keperluan mendesak untuk kepimpinan yang beretika, berpandangan jauh dan bersifat inklusif.
“Kita tidak boleh terus menggunakan pendekatan kepimpinan lama yang hanya mementingkan kekuasaan tanpa mengambil kira masa depan.
“Kepimpinan hari ini memerlukan ketelusan, kepercayaan dan kesediaan untuk berubah mengikut keperluan zaman,” tegasnya.
Sarawak, walaupun sebuah negeri kecil, katanya, tetap komited untuk membangunkan dasar yang berasaskan kepercayaan, kebertanggungjawaban dan keterangkuman.
Justeru, beliau menyeru lebih banyak negara dan organisasi antarabangsa untuk memainkan peranan dalam memastikan kepimpinan global tidak tersasar daripada tanggungjawabnya terhadap masyarakat dan alam sekitar.
“Kepimpinan bukan sekadar soal memegang kuasa, tetapi amanah yang perlu digalas dengan penuh tanggungjawab.
“Masa depan bukan sesuatu yang kita tunggu, tetapi sesuatu yang kita bina bersama,” tambahnya.
Oleh Amanda L.