Ketiadaan penandaan jalan yang jelas di Batu 7 cetus kekeliruan, saman tidak wajar – Michael Kong

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
TIADA petunjuk tempat letak kereta yang jelas.

KUCHING: Pembantu Khas kepada Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen, Michael Kong Feng Nian, menggesa Majlis Perbandaran Padawan (MPP) supaya menambah baik penandaan jalan dan petunjuk lalu lintas di kawasan Batu 7 susulan aduan orang ramai.

Menurut Kong, banyak kawasan di bahu jalan yang luas di lokasi berkenaan tidak mempunyai garisan jalan atau penunjuk ‘Dilarang Meletak Kenderaan’ yang jelas, menyebabkan orang ramai menyangka mereka dibenarkan meletakkan kenderaan di situ.

“Akibatnya, ada pemandu yang dikenakan saman trafik, sekali gus menimbulkan kekeliruan dan rasa tidak puas hati dalam kalangan pengguna jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, walaupun terdapat pengusaha premis yang mengambil inisiatif memasang papan tanda sendiri bagi memaklumkan kawasan tersebut merupakan zon larangan parkir, perkara itu sepatutnya tidak berlaku.

“Adalah tidak adil dan tidak munasabah untuk meletakkan tanggungjawab mengawal lalu lintas awam kepada peniaga, sedangkan pengurusan trafik, penandaan jalan dan penetapan kawasan parkir merupakan tanggungjawab MPP,” katanya.

Sehubungan itu, Kong menggesa MPP supaya segera meneliti keadaan di kawasan Batu 7 dan melaksanakan kerja-kerja penandaan jalan yang jelas, termasuk garisan lalu lintas serta penunjuk tempat letak kenderaan.

Beliau berkata, penandaan jalan yang jelas dan mudah dilihat adalah penting bagi memastikan pematuhan peraturan lalu lintas, mengelakkan saman yang tidak perlu serta mengurangkan kekeliruan dan kekecewaan orang ramai.

Oleh Connie Chieng