RAKYAT boleh berbangga melihat kemajuan yang negara telah dicapai setelah 57 tahun terbentuk, kata Datuk Abdul Rahman Junaidi.
Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) itu mengakui agak sukar untuk menggambarkan keadaan Malaysia setengah abad yang lepas namun sekarang rakyat jelas bersatu dan mengenepikan segala perbezaan untuk bersama-sama mencapai kemajuan.
“Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Malaysia kepada seluruh rakyat negara ini,” katanya semalam.
Walaupun berdepan dengan kumpulan yang cuba menggugat perpaduan, Dr. Abdul Rahman yakin rakyat Malaysia terus bersatu padu.
“Malaysia hari ini berada pada landasan betul untuk mengecapi kemajuan termasuklah di peringkat global terutama dalam bidang ekonomi,
“Bagi kita di Sarawak, tumpuan terus diberikan kepada ekonomi digital untuk memastikan pembangunan negeri ini setanding dengan negeri maju lain di Malaysia,
“Kita semua sentiasa disarankan untuk terus bekerjasama antara satu sama lain bagi membentuk Malaysia yang maju dan harmoni,
“Marilah kita sama-sama menyumbang kepada pembangunan negara demi kecemerlangan masa depan generasi yang akan datang,” tegasnya.
Menjadi harapan ujar Dr. Abdul Rahman bahawa agar seluruh rakyat Malaysia khasnya di Sarawak terus bersatu padu dan menghayati makna Hari Malaysia dengan penuh iltizam.
“Jangan disebabkan perkara kecil kita berpecah sebaliknya kita perlu terus mengekalkan perpaduan. Buang yang keruh ambil yang jernih,
“Bersama-sama kita memajukan Sarawak supaya setanding dengan negeri maju lain,
“Generasi muda juga memupuk semangat patriotisme dan cintakan negara bagi mengelak perpecahan kerana mereka merupakan pemimpin masa hadapan,” tegasnya.