Mohidin Haji Malek
MENYANTUNI sesuatu bidang yang memerlukan sentuhan seni seperti karya kreatif menuntut pengetahuan dalam bidang bahasa, di samping berupaya bukan sahaja meluahkan pemikiran serta falsafah dalam ruang yang terbatas dengan penekanan terhadap aspek keindahan, bahkan turut memerlukan pemerhatian atau penelitian yang mendalam. Apatah lagi apabila aspek penitipan elemen emosi atau perasaan turut menjadi tuntutan primer bagi mengindahkan serta menerbitkan penghayatan mendalam dalam kalangan khalayak pembaca.
Hal yang sedemikianlah yang perlu dihadapi apabila seseorang memilih untuk menghasilkan sajak. Terlalu banyak pengibaratan ditautkan dengan proses penulisan sajak, antaranya termasuklah mengumpamakannya seperti menanam pohon bonsai, menenun serta menyulam. Pengibaratan yang sememangnya tepat untuk memisalkan proses pengkaryaan sesebuah puisi yang bermutu yang mampu menyentuh perasaan di samping membangkitkan kesedaran.
Menukangi sesebuah puisi bukan sekadar pelahiran pengalaman, sama ada yang manis mahupun yang pahit semata-mata. Seseorang pengkarya sajak menginginkan penatap hasil karyanya mampu tercuit naluri mereka dengan apa-apa yang dinukilkan lewat pengalaman yang mereka lalui. Lantaran hal sedemikian itu, pentingnya sesuatu karya itu dibaca berulang-ulang kali oleh penulisnya sendiri terlebih dahulu. Tujuannya adalah untuk melihat serta menyelami sedalam mana pengkarya memahami apa-apa yang dihasilkannya dan sejauh mana karyanya mampu menyentuh nubari dirinya sendiri terlebih dahulu. Seandainya hal yang sedemikian belum mampu dizahirkan, usah pula mengharapkan khalayak pembaca sama ada untuk memahami, mahupun tersentuh apabila membaca karya yang disajikan.
Hal sedemikian sering kali terbias dari pemikiran, namun berupa salah satu kaedah yang amat wajar untuk dijadikan sebagai amalan. Mungkin ada yang mempunyai pendapat yang berbeza, namun andai dikaji secara mendalam, hal ‘merasai’ terlebih dahulu apa-apa yang ingin disajikan membawa kepada penambahbaikan terhadap sesuatu yang dihasilkan, sama ada untuk penambahan, mahupun pengurangan. Ibarat menyajikan suatu masakan yang ‘sesedap rasa’ kepada ‘penjamu selera’.
Dalam siaran kali ini, seperti lazim dilaraskan perbincangan terhadap tiga buah sajak yang telah tersiar pada minggu lalu, iaitu “Angin Bayu” nukilan Adie Abd. Ghani, “Damai yang Hilang di Langit Kota” karya Randy Kembaren Zulfri dan “Ode Buat Sang Pujangga” tulisan Christine Tan Robert. Pada hemah penulis, ketiga-tiga nama ini berupa penyumbang baharu dalam penghasilan karya dalam genre ini, namun demikian bukanlah bermakna mereka baharu ‘berjinak-jinak’ dalam arena pengkaryaan. Membaca serta menaakuli karya yang dihasilkan memberikan gambaran bahawa setiap seorang daripada mereka sudah ‘tertancap’ ilmu asas kepengarangan serta kefahaman mereka tentang genre ini. Pun demikian, terkesan beberapa aspek tertentu yang masih boleh dibaiki bagi memantapkan karya yang dinukilkan agar lebih indah dan mengesankan.
Dilaraskan pembicaraan terhadap sajak “Angin Bayu” nukilan Adie Abd, Ghani. Dari segi tajuk, terkesan sedikit ketidaktelitian pengkarya dari segi pemilihan kata. Hal ini dikatakan sedemikian kerana kata “angin” dan “bayu” berupa kata yang membawa maksud yang sama. Angin, jika dirujuk Kamus Dewan Edisi Keempat, membawa maksud ‘udara yang bergerak’, sementara bayu pula ditakrifkan sebagai ‘angin yang bertiup perlahan’. Benar bahawa bayu memberi penjelasan perihal sifat tiupan angin seperti halnya angin badai, angin barat, angin buritan dan seumpamanya, namun dalam konteks penerimaan umum, kata “bayu” mampu berdiri sendiri untuk menjelaskan konsep angin. Tambahan dalam penghasilan sesebuah sajak, aspek ekonomis antara perkara yang ditekankan. Lantas, memadai sekiranya saudara Adie memilih salah satu, sama ada “Angin” atau “Bayu”, sebagai tajuk sajak beliau.
Lewat sajak ini saudara Adie menampilkan perbandingan sikap atau perlakuan angin dengan manusia. Angin tidak bersifat judgemental atau mudah menghakimi seperti manusia yang terlalu cepat memberikan penilaian tanpa berfikir sedalam-dalamnya tentang sesuatu perkara. Suatu hakikat yang lumrah. Bayu, tetap menghadirkan kelembutan, kemesraan serta kenyamanan sentuhan waima dalam apa-apa juga situasi. Perlu penulis tegaskan bahawa lewat sajak Adie, unsur yang dibandingkan ialah ‘bayu’ atau angin yang bertiup lembut dan bukannya ribut atau taufan yang mampu menghadirkan kemusnahan. Hal sedemikian perlu diperjelaskan. Mesej yang diutarakan amat baik, namun masih wujud ruang penambahbaikan, terutamanya dari segi penukangan bait-bait serta pemilihan diksi. Sekadar memetik contoh, dalam empat baris pertama yang dinukilkan, terkesan unsur kelewahan. Adie menukilkan;
Setidaknya angin bayu yang lalu,
masih membelai jiwaku yang keresahan,
serta menemaniku dengan pawana kelu,
tanpa sepatah bicara rasa kaku.
Dalam rangkap ini, perkataan angin, bayu, dan pawana ialah perkataan yang membawa pengertian yang sama. Penggunaan ketiga-tiga perkataan tersebut sebenarnya lewah dan tidak perlu. Empat baris berkenaan boleh diubah sebegini (sekadar cadangan):
Bayu yang berlalu
setia belai jiwa resah
akrab temaniku
dalam bisu sapaan
Pun demikian halnya dalam bait-bait seterusnya, terkesan unsur lewah yang merencatkan roman sajak yang dinukilkan. Memetik beberapa contoh, aku bukanlah jasad, aku ini hanyalah insan, bayu itu jemu, dan berhenti menghembus pawana sayu. Hal sedemikian perlu diambil ingatan oleh saudara Adie.
Beralih kepada sajak seterusnya, iaitu “Damai yang Hilang di Langit Kota” oleh Randy Kembaren Zulfri. Lewat sajak ini, pengkaryanya melontarkan kebimbangannya akan keruntuhan nilai-nilai murni dalam institusi kemasyarakatan di kota. Isu yang sememang menuntut perhatian serius agar tidak menjadi semakin parah. Terdampar di tengah-tengah sebuah kota (bandar raya), saudara Randy mengimpikan ketenangan, kebahagiaan, keharmonian serta keakraban. Namun hal yang sedemikian sukar ditemui dalam sebuah bandar raya yang masyarakatnya berlumba-lumba mengejar unsur material sehingga meminggirkan nilai-nilai murni. Pada pandangan Randy masyarakat kota semakin kurang beradab, rakus serta songsang amalannya.
Mesej yang disampaikan lewat puisi ini sememangnya berat dan memerlukan penyantunan yang berhemah. Bukanlah suatu perkara yang mudah untuk mengubah sikap dan pemikiran masyarakat yang telah jauh tergelincir serta terpesong daripada landasan norma kehidupan yang sewajarnya. Kesedaran Randy akan isu sebegini menunjukkan bahawa masih ada insan yang peka dan ambil peduli. Dalam konteks ini, kerisauan berkenaan dilontarkan lewat penghasilan sajak, dengan harapan, suara hati itu dapat disampaikan secara ‘meluas’.
Namun demikian, lebih mendalam sentuhannya sekiranya Randy berupaya menyentuh nubari pembaca dan seterusnya merantaikan tindak balas yang positif sifatnya. Secara umumnya, sajak yang disajikan, cenderung ke arah bentuk prosa. Bukanlah satu kesalahan, namun, aspek estetika puitika itu perlu diserlahkan. Dalam konteks ini, sisi yang dimaksudkan adalah dari segi pembinaan bait serta pemilihan diksi. Sekadar mengambil beberapa contoh, dalam rangkap pertama, Randy memaparkan ‘pencarian kedamaian’ di tengah-tengah kepesatan pembangunan bandar raya, disusuli dengan rangkap-rangkap seterusnya yang menampilkan lukisan roman bandar raya yang kian dipenuhi kedut kebejatan. Empat rangkap yang menyusuli, mampu diringkaskan dalam sama ada satu atau dua rangkap yang padat. Perangkuman yang menitipkan aspek penitipan emosi dalam sajak, di samping penerapan ‘roh’ kepada sajak yang dihasilkan. Hal sedemikian berpaksikan pada hakikat bahawa yang dinukilkan adalah berupa unsur kebejatan yang selari dengan pembangunan teknologi dan infrastruktur. Cabaran ini hanya mampu dihadapi dengan kekuatan iman dan perpaduan. Rangkap akhir sajak ini, jika ditaakuli, memadai untuk membayangkan situasi yang berlaku, seperti yang dinukilkan sebegini oleh Randy;
Kota ini mengasuh insan
Menjadi hamba durhaka
Pada sang pencipta
Menjadi anak tak kenang budi
Membina keluarga yang berantakan
Melahir jiran yang melupakan
Membentuk masyarakat yang berlawanan.
Jika tiada kekuatan iman dan perpaduan.
Lanjutan daripada hal sedemikian itu, sajak ini mempunyai ruang untuk dimurnikan agar lebih terkesan impaknya.
Sajak terakhir yang dibicarakan ialah “Ode Buat Sang Pujangga”,karya Christine Tan Robert. Melihat tajuk sajak ini menghadirkan keterujaan untuk menaakulinya. Perasaan ini terbit daripada tafsiran perkataan “ode” yang jika dirujuk kepada Kamus Merriam-Webster, membawa maksud, ‘a lyric poem usually marked by exaltation of feeling and style, varying length of line, and complexity of stanza forms, something that shows respect for or celebrates the worth or influence of another’. Jika dirujuk Kamus Dewan Edisi Keempat, tidak tercatit perkataan “ode”, namun terdapat entri bagi kata “oda” yang bermaksud ‘sajak yang panjang yang menyanjung atau memuji seseorang atau sesuatu atau untuk meraikan sesuatu peristiwa’. Sebagai contoh, sajak To a Nightingle oleh Keat.
Namun, sajak yang dihadirkan oleh Christine berbentuk satu rangkap pendek yang terdiri daripada 11 baris seperti berikut;
Majas di celah jingga senja
Sering kali menggoda jiwa
Untuk memintal benang kata
Ditenun menjadi bait berirama
Bersulam matra rasa
Bunga tabur kenangan
Ode buat sang pujangga
Sendu rimanya kudendang
Mengiringi senja pulang
Dijemput malam
Fitrah alam…
Walaupun tidak menepati jangkaan berdasarkan takrif yang dihuraikan dalam kamus, namun penyulaman atau penenunan sajak ini amat menarik kerana dimulakan dengan bait majas di celah jingga senja yang memerihalkan terselit suatu kiasan di sebalik warna jingga yang dihadirkan sewaktu senja berlabuh. Christine sememangnya peka dan berhati-hati memilih citra atau imej yang ditampilkan dalam sajaknya sehingga kurang menampakkan unsur “kecacamarbaan” mahupun tidak selari. Hal ini diperlihatkan melalui bait-bait memintal benang kata, dan disusuli dengan ditenun menjadi bait …, dan bersulam matra rasa.
Pun demikian, muluk sekiranya pengekalan imej dilanjutkan dalam bait-bait seterusnya iaitu, sendu rimanya kudendang, mengiringi senja pulang. Dalam konteks ini, diusulkan supaya dikekalkan imej penenunan itu dengan memperagakan sama ada keringkam, songket mahupun cheongsam pada sajak yang dihasilkan. Lewat pandangan penulis, sajak ini sudah selayaknya disiarkan dalam ruangan Yang Indah Itu Bahasa.
Apa-apapun, tahniah dan syabas kepada ketiga-tiga orang penyumbang, iaitu, Adie Abd. Ghani, Randy Kembaren Zulfri dan Christine Tan Robert. Teruslah berkarya. Usah patah semangat. Galilah sebanyak ilmu yang mampu lewat pembacaan dan penaakulan karya-karya yang dihasilkan oleh para karyawan yang mapan dan terkenal. Dalam dunia kepengarangan, tiada istilah ‘cukup’ kerana semakin dalam penaakulan, semakin banyak unsur-unsur terkubur yang akan ditemui.
Sekali lagi, tahniah dan syabas. Semoga anda semua menempah kejayaan yang dihasratkan. Bahasa dijunjung, sastera disanjung.