
BETONG: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menghadiri Majlis Kesyukuran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Ke-17 Peringkat Sarawak 2026 di Masjid Jamek Betong, semalam.
Majlis yang menghimpunkan pemimpin kerajaan, penjawat awam dan masyarakat Islam setempat itu berlangsung dalam suasana penuh kesyukuran serta penghayatan sebagai tanda syukur dan taat setia kepada institusi Raja Berperlembagaan.
Hadir mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (Kesejahteraan Komuniti), Datuk Mohammad Razi Sitam, Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Datu Mual Suaud serta tetamu kehormat yang lain.
Majlis dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah sebelum diteruskan dengan bacaan Yaasin dan Doa Kesyukuran yang dipimpin Timbalan Imam Besar Sarawak, Sahibul Fadilah Ustaz Muhammad Ihsan Haidzir.

Suasana majlis turut diserikan dengan alunan Zikir Marhaban oleh Gabungan Kumpulan Zikir Bahagian Betong yang menambahkan lagi penghayatan sambutan dalam suasana penuh harmoni.
Tun Wan Junaidi bersama para jemaah kemudiannya menunaikan solat fardu Isyak secara berjemaah sebelum majlis berakhir.
Beliau bersama Toh Puan Fauziah seterusnya menghadiri jamuan makan malam yang diadakan bagi memeriahkan lagi majlis berkenaan.
Turut menghadiri jamuan tersebut ialah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Snowdan Lawan, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Gerald Rentap Jabu, Ahli Parlimen Betong Dato Dr Richard Rapu, serta Residen Bahagian Betong, Datu Richard Michael Abunawas.
Majlis Kesyukuran itu merupakan antara pengisian utama Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Ke-17 Peringkat Sarawak 2026 yang berlangsung di Bahagian Betong.
Oleh Shahrul Qaizat