Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KESIHATAN
  • Kesihatan mental bukan lagi isu sampingan di tempat kerja – JKKP
  • KESIHATAN

Kesihatan mental bukan lagi isu sampingan di tempat kerja – JKKP

Utusan Sarawak 3 hours ago
TIMBALAN Ketua Pengarah (Kesihatan Pekerjaan), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Ahmad Jailani Mansor menyampaikan ucaptama perasmian sempena MEF OSH Conference 2026 anjuran Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) bertemakan “Breaking the Silence: Mental Health Matters at Work” hari ini. Foto BERNAMA

PETALING JAYA: Majikan perlu mengubah pendekatan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) dengan turut mengutamakan kesejahteraan mental dan psikologi pekerja, bukan hanya perlindungan fizikal.

Timbalan Ketua Pengarah (Kesihatan Pekerjaan) Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Ahmad Jailani Mansor berkata kesejahteraan mental pekerja kini tidak lagi boleh dianggap isu sampingan, sebaliknya perlu diangkat sebagai teras KKP yang lebih holistik.

“Kita menyaksikan satu anjakan paradigma yang penting iaitu peralihan tumpuan daripada perlindungan fizikal semata-mata seperti topi dan kasut keselamatan kepada perlindungan yang menyeluruh, merangkumi kesejahteraan mental dan psikologi pekerja.

“Kesihatan mental merupakan ‘bahaya halimunan’ atau bahaya senyap di tempat kerja. Kita mudah mengesan mesin rosak atau kemalangan yang berlaku, tetapi kita tidak nampak jiwa tertekan atau minda terbeban,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama dan merasmikan Persidangan MEF KKP 2026 anjuran Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) bertemakan Breaking the Silence: Mental Health Matters at Work di sini hari ini.

Turut hadir Presiden MEF Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman.

Ahmad Jailani berkata JKKP turut membangunkan garis panduan Garis Panduan Pentaksiran dan Pengurusan Risiko Psikososial di Tempat Kerja (PRisMA) 2024 sebagai penanda aras kebangsaan serta pendekatan sistematik bagi membantu majikan mengenal pasti, menilai dan mengurus risiko psikososial dengan lebih berkesan di tempat kerja.

Beliau berkata pelaksanaan PRisMA secara berkesan memerlukan Personel Terlatih Psikososial (PTP) bagi melaksanakan pentaksiran risiko serta mencadangkan intervensi yang bersesuaian.

“Fokus utama PRisMA adalah pencegahan, iaitu dengan membaiki persekitaran kerja seperti mengurus beban kerja, memastikan kejelasan peranan dan menangani kelesuan sebelum pekerja terkesan,” katanya.

Beliau berkata kesihatan pekerjaan juga merupakan teras utama di bawah Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara 2026 hingga 2030 (OSHMP 2030), yang menetapkan matlamat membudayakan pencegahan dalam aspek KKP di tempat kerja.

Ahmad Jailani berkata Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 kini turut merangkumi kesihatan psikologi, sekali gus menjadikan penilaian risiko psikososial sebagai tanggungjawab statutori dan keperluan undang-undang ke atas majikan di bawah Seksyen 18B akta berkenaan.

“Menangani isu kesihatan mental bukan sekadar tanggungjawab moral, tetapi juga pelaburan perniagaan yang bijak kerana kesejahteraan mental pekerja dapat membantu mengurangkan keadaan pekerja hadir bekerja tetapi tidak produktif, selain menurunkan kadar ketidakhadiran,” katanya. – Bernama

Continue Reading

Previous: DUN: Peluasan teleperubatan kurangkan keperluan pesakit luar bandar ke hospital besar

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.