KUCHING: Kesihatan awam akan menjadi keutamaan sekiranya keadaan jerebu terus memburuk sehingga menjejaskan penganjuran aktiviti luar, termasuk Jalan Santai Datuk Bandar 2026.
Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng berkata, Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) akan mematuhi sebarang arahan yang dikeluarkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berhubung perkara itu.
Menurutnya, MBKS tidak akan membuat keputusan secara bersendirian bagi memastikan sebarang tindakan berkaitan jerebu dilaksanakan secara seragam.
“Kita tunggu arahan daripada JPBNS dan tidak mengeluarkan arahan sendiri kerana sekiranya arahan datang daripada kerajaan, semua pihak perlu mematuhinya.”
“Kesihatan awam lebih penting daripada acara larian atau berjalan kaki. Jika cuaca atau keadaan jerebu tidak mengizinkan, keutamaan tetap kepada kesihatan awam,” katanya.
Beliau berkata, sambutan terhadap Jalan Santai Datuk Bandar 2026 amat menggalakkan apabila pendaftaran ditutup selepas mencapai kapasiti penuh, selain peserta sudah mula mengambil kemeja-T rasmi masing-masing.
Program Jalan Santai Datuk Bandar 2026 dijadual berlangsung pada 16 Ogos ini bermula 6.00 pagi, sebagai antara acara komuniti tahunan MBKS yang bertujuan menggalakkan budaya hidup aktif dan sihat.
Program itu bukan berbentuk pertandingan, sebaliknya menjadi platform menghimpunkan masyarakat daripada pelbagai lapisan usia untuk melakukan aktiviti fizikal bersama keluarga dan rakan, selain mengeratkan hubungan dalam komuniti.
Oleh Norman B




