Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Keselamatan jururawat penting demi penjagaan lebih baik pesakit
  • NASIONAL

Keselamatan jururawat penting demi penjagaan lebih baik pesakit

Utusan Sarawak 5 hours ago
PRESIDEN Persatuan Jururawat Malaysia (MNA) yang juga bekas jururawat Safiah Sutan Taharudin ketika ditemui di Wisma Jururawat, Petaling Jaya, baru-baru ini. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Asiah Suppaat sedang menjalankan tugasnya sebagai jururawat di sebuah hospital kerajaan di Kuala Terengganu, Terengganu apabila secara tiba-tiba beliau ditampar oleh seorang pesakit.

Sedia maklum akan pelbagai kerenah pesakit lantaran bertugas di wad psikiatri pada waktu itu, beliau bagaimanapun tetap terkejut kerana serangan berlaku tanpa sebarang amaran.

“Bila saya tanya ‘Eh, kenapa awak tampar saya?, Dia jawab senang saja: ‘Eh, awak ni cantik sangat.’ Nak marah pun tak boleh kerana dia puji kita,” kongsinya dengan Bernama menerusi Google Meet, sambil ketawa kecil.

Asiah, 71, yang bersara pada 2015 sebagai Matron (Ketua Jururawat), bagaimanapun menganggap insiden yang berlaku ke atas dirinya itu tidak “sehebat” yang diterima oleh rakan sejawat apabila dijerut oleh seorang lagi pesakit menggunakan rantai leher dipakai jururawat berkenaan. 

“Saya terpaksa masukkan tangan saya di antara rantai dengan leher kawan tu supaya tak tercekik,” imbaunya, menambah mereka terpaksa memujuk si pesakit agar melepaskan pegangannnya pada rantai leher jururawat berkenaan.

Keganasan fizikal di wad psikiatri sememangnya dapat dijangkakan, tetapi sikap agresif terhadap jururawat khususnya, tidak terhenti di situ. Serangan, kebanyakannya dalam bentuk lisan, adalah sesuatu yang didepani oleh jururawat setiap hari, sama ada daripada pesakit, ahli keluarga ataupun rakan pesakit.

Kira-kira dua daripada lima jururawat di Malaysia, atau 43.9 peratus, berdepan kekerasan dengan 82.2 peratus serangan tersebut dalam bentuk lisan, 8.9 peratus dari segi psikologi dan 8.3 peratus berbentuk fizikal, demikian dapatan kajian bertajuk “Workplace Violence Among Nurses in Penang Hospital:Prevalence and Risk Factors”. Kajian yang diketuai oleh penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia Dr Halim Ismail itu diterbitkan pada 2022.

Di Asia, 51.3 peratus jururawat dilaporkan berdepan keganasan di tempat kerja sementara di Asia Barat sebanyak 61.3 peratus, manakala Eropah mencatatkan 38.8 peratus.

Pihak berkuasa kesihatan termasuk persatuan jururawat dan International Council of Nurses (ICN) serta penyelidik bagaimanapun berpendapat prevalens sebenar lebih tinggi.     

“Data sebenar memang tak dapat, kerana ramai tak buat laporan. Angka sebenar lebih tinggi,” kata Presiden Persatuan Jururawat Malaysia (MNA) yang juga bekas jururawat Safiah Sutan Taharudin.

Minggu ini, dunia meraikan Hari Jururawat Antarabangsa dan Malaysia juga tidak ketinggalan dengan sambutan peringkat kebangsaan bertemakan “Our Nurses. Our Future. Empowered Nurses Save Lives” dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Hanifah Hajar Taib pada Selasa.

Sekalipun isu berkaitan gaji serta waktu bekerja jururawat yang terlalu panjang kerap kali dibincangkan, aspek keselamatan di tempat kerja tidak begitu diketengahkan di sebalik kesan ke atas persekitaran kerja mereka.

BEKAS jururawat Safiah Sutan Taharudin ketika ditemui di Wisma Jururawat, Petaling Jaya, baru-baru ini. Foto BERNAMA

TIDAK SEPERTI BIASA 

Dalam kenyataan bersempena dengan sambutan Hari Jururawat Antarabangsa yang dirai pada 12 Mei itu, pensyarah di Jabatan Kejururawatan dan Rehabilitasi, Universiti Putra Malaysia,  Dr Azura Abdul Halain mengaitkan pemerkasaan jururawat dengan kesejahteraan mereka.

“Jururawat berdepan dengan pelbagai cabaran seperti beban kerja yang tinggi, kekurangan tenaga kerja dan tekanan emosi berpanjangan. Oleh itu, pemerkasaan jururawat bukan melibatkan individu semata-mata, tetapi juga sistem yang menyokong mereka – persekitaran kerja yang selamat, kepimpinan yang memahami serta dasar yang menjaga kebajikan mereka,” tulisnya.

 Walaupun semua petugas kesihatan berdepan dengan pelbagai bentuk keganasan di tempat kerja, jururawat menerima kesan paling besar kerana mereka merupakan tenaga kerja terbesar dalam sektor itu dan golongan paling kerap berurusan dengan pesakit dan ahli keluarga mereka.

Penyelidikan mendapati kebanyakan insiden keganasan terhadap jururawat di dunia berlaku di jabatan kecemasan dan wad psikiatri. Di Malaysia juga begitu.

“Staf saya pernah ditumbuk, kaca mata mereka pecah, ubat batuk dicurah ke atas kepala mereka – macam-macam lagi yang kami lalui,” kongsi Ketua Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Kuala Lumpur (HKL) Datuk Dr Alzamani Mohammad Idrose. Beliau ditemui Bernama selepas menyampaikan ucaptama di Persidangan Jururawat Kebangsaan 2026 anjuran MNA di Putrajaya.

Bernama juga berpeluang menemu bual beberapa orang jururawat yang hadir di persidangan berkenaan, dan kesemua mereka mengaku pernah melalui ataupun menyaksikan keganasan di tempat kerja, meliputi serangan lisan dan fizikal. Namun mereka menganggap kesemua itu sebagai asam garam tugas dan mengabaikannya selagi tidak melibatkan fizikal. 

Safiah berkongsi yang beliau sendiri pernah mengalaminya selain turut menyaksikan keganasan ke atas rakan sekerja. Katanya jururawat umumnya tidak ambil endah kerana mereka telah dilatih untuk kekal ceria dan bersikap profesional pada sepanjang masa. 

“Macam-macam perasaan ada tapi kita tidak tunjukkan emosi kita. Kita memang diajar, walau betapa marah sekalipun kita pada pesakit, kita kena senyum (walaupun) hati terluka,” katanya sambil ketawa.

Tambah beliau lagi, walaupun sesi kaunseling disediakan bagi membantu petugas kesihatan mengelakkan stres, sesetengah jururawat lebih rela mendiamkan diri daripada membuat laporan tentang serangan lisan ke atas mereka, ataupun mendapatkan bantuan, kerana mereka khuatir dicap sebagai lemah.

KITARAN BURUK 

Pakar kesihatan melihat tempoh menunggu yang panjang dan kesesakan di jabatan kecemasan, iaitu lokasi di mana kebanyakan insiden agresif berlaku, selain tahap literasi kesihatan yang rendah, sebagai punca utama serangan terhadap petugas kesihatan.

Pakar kesihatan pekerjaan dan kesihatan awam Prof Dr Victor Hoe Abdullah memberitahu Bernama jabatan kecemasan merupakan kawasan “bertekanan dan berkeperluan tinggi”.

“Pesakit dan ahli keluarga mereka datang dalam keadaan cemas, dan setiap individu berasakan masalah mereka lebih penting dan lebih mendesak berbanding orang lain. Di situlah keganasan berlaku, kerana jika anda seorang pesakit atau ahli keluarga pesakit, contohnya anda bawa ke hospital, sudah tentu anda mahu dia dirawat dengan segera,” katanya.

Dr Hoe yang juga Ketua Jabatan Perubatan Sosial dan Pencegahan di Universiti Malaya, berkata masalah timbul apabila orang ramai tidak memahami sistem triage di jabatan kecemasan, yang memerlukan doktor dan jururawat mengutamakan rawatan ke atas kes paling kritikal.

Contoh kes kritikal termasuk sakit dada dan kesukaran bernafas, warga emas yang mengalami jatuh serius, kes denggi serta demam panas dalam kalangan kanak-kanak kecil dan bayi.

Senada, Matron Noorliana Noordin yang bertugas di Jabatan Kecemasan dan Trauma HKL,  berkata apabila pesakit bukan kritikal turut datang ke jabatan itu, akan berlaku kesesakan dan seterusnya memanjangkan tempoh menunggu di hospital sehingga tercetus kemarahan dalam kalangan yang menunggu.

“Kita nasihati mereka agar ke klinik kesihatan saja kalau setakat demam ringan, tapi  itupun kena marah. Mereka datang ke jabatan kecemasan dengan jangkaan diberikan rawatan. Apabila diberitahu sedemikian, mereka tidak boleh terima,” katanya.

Menurut Dr Alzamani, Jabatan Kecemasan dan Trauma HKL merupakan unit kecemasan hospital paling sibuk di Malaysia, menerima 500 ke 700 kes sehari.

Kekurangan jururawat di seluruh negara turut memburukkan lagi keadaan. Pertubuhan Kesihatan Sedunia menetapkan nisbah enam jururawat bagi setiap 1,000 penduduk untuk mencapai liputan kesihatan sejagat. Namun, data terkini Bank Dunia pada 2023 menunjukkan Malaysia hanya mempunyai 4.1 jururawat bagi setiap 1,000 penduduk.

Akibat kekurangan jururawat yang semakin ketara selepas pandemik COVID-19, beban fizikal dan mental golongan itu turut meningkat di samping rasa tidak puas hati terhadap pekerjaan, manakala kadar gaji pula kekal rendah. Jururawat di Malaysia bekerja selama 42 jam seminggu, dengan ada yang terpaksa bekerja lebih masa bagi menampung kekurangan kakitangan.

Keadaan itu mendorong ramai jururawat berhijrah mencari peluang lebih baik, sama ada ke sektor swasta atau ke luar negara, sekali gus memburukkan lagi masalah kekurangan tenaga jururawat. Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dilaporkan pernah memberitahu Parlimen dua tahun lalu Malaysia dijangka berdepan kekurangan jururawat sebanyak 60 peratus menjelang 2030.

Sementara itu, Dr Alzamani berkata Jabatan Kecemasan dan Trauma HKL kini beroperasi pada tahap 60 peratus kecekapan dan menyifatkan keadaan itu sebagai “kitaran buruk” yang berterusan.

Beliau berharap graduan baharu kejururawatan yang dijangka mula berkhidmat pada Julai depan, dapat membantu mengurangkan beban kerja dan tekanan mental jururawat sedia ada dalam masa terdekat, walaupun jumlah mereka masih belum mencukupi.

MELABUR DALAM KESIHATAN MALAYSIA 

Pada tahun lalu, Kementerian Kesihatan melaporkan seramai  3,021 jururawat Malaysia berhijrah dan bekerja di luar negara pada 2024, berdasarkan data Lembaga Jururawat Malaysia, dengan  2,554 orang (84.5 peratus) daripada sektor swasta; 353 (11.7 peratus) daripada institusi Kementerian Kesihatan dan 114  orang (3.8 peratus) daripada penyedia penjagaan kesihatan lain.

Bagi mengekang penghijrahan jururawat, semua pakar yang ditemui Bernama berpendapat peningkatan gaji, elaun dan faedah mampu membantu mengekalkan tenaga kerja kejururawatan sedia ada.

“Di Malaysia contohnya, gaji permulaan sekitar RM3,000. Di Singapura pula, 3,500 dolar Singapura, jadi kalau darab tiga (nilai dolar Singapura berbanding ringgit Malaysia) memang jauh bezanya. Di negara Arab pun sama. Di Malaysia gaji sekitar RM3,000, di sana boleh mencecah RM10,000 hingga RM12,000. Memang tinggi,” kata Safiah.

Walaupun Malaysia mungkin tidak mampu menawarkan gaji setanding negara luar, kerajaan masih boleh menyediakan pakej lebih menarik untuk jururawat tempatan agar mereka kekal berkhidmat, termasuk meningkatkan elaun bagi subkepakaran supaya lebih setanding dengan sektor swasta.

Menurut sumber, jururawat sektor awam hanya menerima elaun subkepakaran sebanyak RM100 berbanding jururawat sektor swasta yang menerima antara RM300 hingga RM700 sebulan bergantung pada hospital.

Dr Alzamani yang menyifatkan jururawat sebagai “tulang belakang sistem kesihatan negara”, berpendapat golongan itu kurang dihargai.

“Kebanyakan masa (jururawat) tidak dilihat sebagai golongan profesional tetapi sebagai seseorang yang buat kerja-kerja biasa. Orang ramai cenderung memandang rendah nilai sebenar jururawat. 

“Mereka sebenarnya menerima latihan yang jauh lebih mendalam dalam bidang perubatan, fisiologi. Mereka memahami dan cekap mengira sukatan ubat, memantau pesakit serta melaksanakan penjagaan pesakit dengan baik. Mereka seharusnya lebih dihargai,” katanya.- Bernama

Continue Reading

Previous: Negara masuki fasa Monsun Barat Daya esok, orang ramai dinasihat peka – Ahmad Zahid
Next: Tengku Hassanal iringi anggota rombongan cedera dapatkan rawatan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.