
BINTULU: Ahli Parlimen Bintulu, Dato Sri Tiong King Sing memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap sesiapa sahaja yang melanggar undang-undang dan mengancam keselamatan awam, tanpa mengira latar belakang atau hubungan peribadi.
Beliau berkata demikian susulan kejadian pergaduhan yang berlaku di hadapan sebuah pusat hiburan di Bintulu baru-baru ini yang meragut nyawa seorang lelaki.
“Saya amat sedih mendengar berita ini kerana ia bukan sahaja melibatkan kehilangan nyawa, malah turut membimbangkan keselamatan rakyat Bintulu,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook beliau.
Menurut Tiong, siasatan menyeluruh telah diminta daripada pihak polis dan individu yang dikenal pasti menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sedang disiasat, termasuk ‘dalang’ kumpulan terbabit.
Beliau turut menegaskan bahawa ibu bapa individu yang terlibat juga akan dipanggil untuk memberi penjelasan.
“Semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang, tidak ada yang terkecuali.
“Jika anda melanggar undang-undang, anda perlu bersedia menghadapi akibatnya,” tegasnya.
Tiong turut menasihati golongan muda agar tidak bertindak sesuka hati hanya kerana mempunyai hubungan dengan individu berpengaruh.
Katanya, peluang untuk berubah sentiasa terbuka bagi mereka yang mahu meninggalkan masa silam, namun tiada ruang untuk mereka yang terus menggunakan keganasan dan bermegah dengan kumpulan yang disertai.
Dalam masa sama, beliau turut mempersoalkan peranan sesetengah ahli profesional dalam bidang undang-undang yang seolah-olah lebih cenderung membela pesalah daripada mempertahankan keadilan.
“Adakah anda benar-benar mempertahankan keadilan atau hanya sekadar membela pesalah kerana wang? Fikirkan semula,” katanya.
Beliau turut menggesa seluruh warga Bintulu agar bersama-sama memastikan daerah itu kekal aman dan selamat demi masa depan yang lebih baik.
Oleh Carolyne Utih