
SARIKEI: Kesedaran mengenai kepentingan pemeriksaan awal kesihatan lelaki terus diperkukuh apabila masyarakat setempat tampil menjalani saringan kesihatan urologi sempena Kempen Kesihatan Lelaki Sari-Creen 2026 Peringkat Sarawak yang julung kali diadakan di Hospital Sarikei, hari ini.
Program saringan percuma tersebut merangkumi pemeriksaan kanser prostat, masalah kencing dan kesihatan seksual lelaki sebagai usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pengesanan awal penyakit berkaitan kesihatan lelaki.
Wilsonaik Ungep, 39, menggesa lebih ramai lelaki agar tidak mengabaikan pemeriksaan kesihatan demi kesejahteraan diri.
“Saya Wilsonaik Ungep ingin memberitahu kepada semua rakan-rakan yang lelaki supaya hadir ke Hospital Sarikei untuk memeriksa kesihatan.
“Saya berharap kita yang lelaki sama menjaga kesihatan tubuh badan kita supaya sihat semua.
“Saya hadir ke sini kerana ingin memeriksa kesihatan tubuh badan saya,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak.
Manakala, Zainal Abidin Osman, 73, berkata beliau mengambil peluang menjalani pemeriksaan kesihatan dan berharap lebih ramai lelaki tampil menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala.

Zainal turut menasihatkan supaya jangan malu berjumpa doktor untuk menjalani saringan kesihatan lelaki.
Kempen tersebut merupakan satu detik bersejarah bagi Hospital Sarikei kerana julung kali program saringan kesihatan urologi berskala besar dan berfokus diadakan di daerah ini dengan penglibatan pasukan pakar dari Jabatan Urologi Hospital Umum Sarawak (HUS).
Ia bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat khususnya lelaki mengenai kepentingan menjaga kesihatan dan menggalakkan pengesanan awal penyakit berkaitan urologi.
Sehubungan dengan itu, kempen ini diharap dapat mengubah persepsi masyarakat supaya lebih terbuka menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala.
Dalam pada itu, kehadiran pasukan pakar urologi dari Kuching yang turun padang ke Sarikei bagi menyediakan perkhidmatan kepakaran secara terus kepada komuniti setempat turut memberi peluang kepada masyarakat mendapatkan pemeriksaan kesihatan secara lebih mudah dan dekat.
Orang ramai khususnya lelaki di daerah ini dan kawasan sekitarnya digalakkan mengambil peluang menjalani pemeriksaan kesihatan kerana pengesanan awal mampu membantu mencegah komplikasi penyakit pada peringkat lebih serius dan menyelamatkan nyawa.
Oleh Earl Anek