KUCHING: Kesedaran masyarakat dan kerjasama antara agensi berkaitan perlu diperkasa bagi mencegah orang ramai daripada menjadi mangsa penipuan, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Wilfred Yap.
Beliau berkata, taktik penipuan kini semakin canggih apabila penjenayah mengeksploitasi teknologi, penyamaran identiti, unsur desakan dan ketakutan untuk memanipulasi mangsa supaya membuat keputusan secara terburu-buru.
“Waktu terbaik untuk menghentikan penipuan adalah sebelum wang dipindahkan. Selepas seseorang ditipu, mendapatkan semula wang yang hilang amat sukar.
“Sebab itu, kesedaran dan langkah berjaga-jaga merupakan benteng pertahanan pertama kita,” katanya.
Wilfred berkata, tiada siapa harus menganggap diri mereka kebal daripada menjadi mangsa penipuan kerana individu daripada pelbagai peringkat umur dan latar belakang boleh menjadi sasaran.
Katanya, penjenayah menggunakan pelbagai kaedah termasuk identiti palsu, skim pelaburan, panggilan telefon, mesej serta platform dalam talian untuk memperdaya mangsa.
Menurutnya, usaha membanteras penipuan tidak seharusnya hanya tertumpu kepada aspek penguatkuasaan, sebaliknya perlu disokong pendidikan awam secara berterusan, program kesedaran praktikal serta kerjasama lebih erat antara polis, agensi kerajaan, pertubuhan pengguna, pemimpin masyarakat dan orang ramai.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri kunjungan hormat wakil Yayasan Pengguna Negara Malaysia, Pertubuhan Kebajikan Pengguna Sarawak dan pusat khidmatnya kepada Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah.
Kunjungan itu turut bertujuan memberi taklimat mengenai Program Kesedaran Antipenipuan dan Pendaftaran Manfaat Kesihatan yang akan datang.
Program berkenaan dianjurkan bersama oleh kedua-dua pertubuhan pengguna tersebut dan pusat khidmat Wilfred, dengan matlamat meningkatkan kesedaran mengenai penipuan, perlindungan pengguna serta akses kepada bantuan dan manfaat berkaitan.
“Kita tidak seharusnya menunggu sehingga seseorang kehilangan seluruh simpanan hidupnya sebelum bertanya apa yang berlaku. Kita perlu mendidik masyarakat sebelum mereka menjadi mangsa,” katanya.
Dalam pada itu, Wilfred menggesa orang ramai supaya segera melaporkan sebarang penipuan yang disyaki serta mengamalkan prinsip ‘BERHENTI. FIKIR. SAHKAN’ apabila menerima panggilan, mesej atau tawaran yang mencurigakan.
“Jangan terburu-buru, jangan panik dan jangan percaya secara membuta tuli. Sahkan terlebih dahulu,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Polis Sarawak atas sokongan yang diberikan serta mengalu-alukan kerjasama pihak berkenaan dalam menyediakan penceramah bagi program tersebut untuk berkongsi panduan praktikal dengan orang ramai.
Oleh Connie Chieng





