Kerusi roda terpakai, langsir khas diserah kepada Klinik Kesihatan Tabuan Jaya

Facebook
WhatsApp
SUMBANGAN… Dato Wee Hong Seng bersama tetamu kehormat dan warga Klinik Kesihatan Tabuan Jaya merakam kenangan pada majlis penyerahan kerusi roda terpakai, hari ini. Foto Norman B

KUCHING: Klinik Kesihatan Tabuan Jaya menerima sumbangan kerusi roda terpakai dan langsir suaian khas bagi meningkatkan keselesaan serta privasi pesakit yang mendapatkan rawatan di klinik berkenaan.

Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng berkata, keperluan itu dikenal pasti ketika lawatannya sebelum ini selepas mendapati beberapa bilik konsultasi tidak dilengkapi langsir, sekali gus boleh menjejaskan privasi pesakit.

“Saya memutuskan untuk memberikan sumbangan peribadi bagi menyediakan langsir untuk kegunaan doktor dan pesakit.

“Pada masa sama, klinik ini juga kekurangan kerusi roda, jadi, kita mengambil pendekatan menggunakan semula kerusi roda terpakai yang masih dalam keadaan baik berbanding membeli yang baharu,” katanya.

PRIHATIN… Dato Wee Hong Seng meninjau langsir yang dipasang bagi menjaga privasi pesakit di Klinik Kesihatan Tabuan Jaya. Foto Norman B

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan penyerahan kemudahan tersebut di Klinik Kesihatan Tabuan Jaya, di sini, hari ini.

Wee berkata, isu kekurangan tempat letak kereta turut memerlukan perhatian memandangkan klinik berkenaan mempunyai lebih 100 kakitangan, selain menerima jumlah pesakit yang semakin meningkat.

Menurutnya, perancangan awal perlu dilakukan bagi memastikan orang ramai mempunyai ruang letak kereta yang mencukupi dan mudah mendapatkan rawatan.

Beliau turut menggesa pihak yang berkemampuan supaya bersama-sama membantu meningkatkan kemudahan di klinik dan hospital awam demi keselesaan pesakit serta warga kesihatan.

Oleh Norman B