SINGAPURA: Kerjasama Singapura-Sarawak dalam sektor penyaluran tenaga boleh diperbaharui dan perdagangan karbon adalah dua perkara dibincangkan di republik itu hari ini.
Perbincangan itu dibawa dalam pertemuan antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan rakan sejawatan dari Singapura, Lee Hsien Loong.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang turut sama dalam rombongan Malaysia itu berkata perkara itu dikemukakan Anwar kepada Lee.
“Anwar Ibrahim telah membangkitkan isu mengenai cadangan untuk eksport tenaga elektrik dari Sarawak ke Singapura yang juga akan melibatkan persetujuan Kerajaan Indonesia,” katanya kepada pemberita sebelum berangkat pulang ke Sarawak di sini petang tadi.
Sehubungan itu, Abang Johari berkata, kabel elektrik dasar laut dari Tondong, Sarawak ke Singapura akan melibatkan jarak sepanjang 720 kilometer (km) dan sekurang-kurangnya 70 peratus laluan tersebut berada di perairan Indonesia melalui koridor Muri-Midai.
“Jika menjadi kenyataan melalui projek tersebut dengan kos sehingga SGD 8 bilion, Sarawak berpontensi mengeksport sehingga 1,000 megawat tenaga ke Singapura.
“Bagi pihak Sarawak, Datuk Seri Anwar juga telah menyentuh mengenai potensi kerjasama perdagangan karbon antara pihak swasta Singapura dan Sarawak,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, kerjasama tersebut ketika ini masih dalam peringkat perbincangan antara swasta Singapura dan Sarawak.