
LAWAS: Kerjasama dan perpaduan dalam kalangan masyarakat, terutamanya di peringkat akar umbi dan kampung-kampung, merupakan elemen penting dalam memastikan kekuatan dan kelangsungan perjuangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).
Ketua Penerangan Parti PBB Cawangan Bukit Sari, Awang Aris Narudin, menegaskan demikian ketika berucap pada pertandingan memancing ikan kategori wanita terbuka Lawas di jeti Pantai Kampung Punang.

“Kita mesti memastikan Parti PBB terus kuat kerana di hadapan kita terdapat cabaran yang lebih getir, khususnya dalam perjuangan menuntut hak Sarawak,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa perpecahan dalam kalangan ahli parti boleh memberi kesan negatif kepada kekuatan keseluruhan jentera.
“Jika kita lemah dan berbalah sesama sendiri, ini akan melemahkan keseluruhan jentera parti. Sedangkan PBB telah berusaha keras membawa kemajuan serta memperjuangkan tuntutan hak Sarawak,” ujarnya lagi.
Menurutnya, semangat muafakat yang kukuh dalam kalangan rakyat amat penting dalam menjayakan agenda pembangunan dan memastikan hak Sarawak terus dipertahankan.
Pertandingan tersebut bertemakan pakaian tradisional dan terhad kepada 120 penyertaan telah berjaya menarik seramai 95 peserta dan dianjurkan oleh Wanita PBB Ranting Kampung Punang.
Acara tersebut turut dimeriahkan dengan pertandingan karaoke terbuka, teka syiling dalam tabung dan reruai jualan di sekitar tebingan pantai Punang.
Turut hadir Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda PBB Cawangan Bukit Sari Awang Azmi Awang Aris dan Ketua Wanita Parti PBB Cawangan Bukit Sari Aujiana Garip.
Oleh Adeng Edrus