
KUCHING: Penganjuran majlis ibadah korban di Kampung Panglima Seman Ulu bukan sekadar acara tahunan sempena sambutan Aidiladha, malah menjadi simbol kekuatan perpaduan akar umbi dan wadah pemerkasaan komuniti melalui penglibatan aktif pelbagai pihak.
Kejayaan program itu didorong oleh kerjasama erat antara Pergerakan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Pantai Damai, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Panglima Seman Ulu serta sokongan padu penduduk setempat yang berganding bahu menjayakan acara berkenaan hari ini.

Majlis yang diadakan di perkarangan tempat letak kereta kampung tersebut bukan sahaja mengukuhkan hubungan sesama komuniti tetapi turut menghidupkan semula semangat gotong-royong dan kebersamaan yang menjadi tunjang keharmonian masyarakat.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek bagi Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi turut hadir memeriahkan program sambil menyampaikan amanat kepada penduduk kampung.
“Majlis korban ini adalah simbol kekuatan komuniti apabila semua pihak daripada pemimpin masyarakat hingga golongan muda berganding bahu menjayakannya. Ia membuktikan bahawa perpaduan bukan hanya slogan, tetapi dilaksanakan melalui tindakan bersama,” tegas beliau.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, termasuk Ketua-Ketua Ranting PBB, Pergerakan Wanita, Sayap Belia 1828 dan kepimpinan kampung yang menunjukkan komitmen tinggi dalam memastikan kelancaran program.
“Tanpa penglibatan semua pihak, mustahil majlis seperti ini dapat dilaksanakan dengan baik. Inilah contoh kepimpinan akar umbi yang proaktif dan peduli terhadap keharmonian komuniti,” tambah beliau lagi.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa masyarakat menolak sebarang unsur perpecahan yang boleh menggugat kesejahteraan kampung.
“Kalau ada pihak luar cuba mengganggu perpaduan kita, kita tolak. Jangan biarkan keharmonian ini tercemar. Kita di Sarawak amat bertuah kerana menikmati keamanan yang tidak semua negara kecapi,” ujar beliau.
-UKAS