KUCHING: Kerjasama strategik antara Kolej AITC Kuching, Kolej I-Systems Kuching dan Borneo Evangelical Mission (BEM) menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) disifatkan sebagai langkah penting dalam memperkukuh pembangunan modal insan serta melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan masa depan Sarawak.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Snowdan Lawan berkata, kerjasama itu memperlihatkan komitmen bersama untuk meletakkan pendidikan, pembangunan kemahiran dan modal insan sebagai teras pembangunan masyarakat, selaras dengan aspirasi Sarawak menjadi negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030.
Beliau berkata, pemeteraian MoU itu bukan sekadar memeterai dokumen kerjasama, malah menjadi simbol perkongsian visi dan tanggungjawab dalam melahirkan masyarakat yang berilmu, berkemahiran serta berintegriti.

Menurutnya, di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), pembangunan modal insan kekal sebagai antara agenda utama kerajaan negeri kerana kemajuan sesebuah negeri bukan hanya bergantung kepada pertumbuhan ekonomi, pembangunan infrastruktur atau kemajuan teknologi semata-mata.
“Pembinaan masa depan Sarawak bergantung kepada rakyat yang berpendidikan, berkemahiran, berakhlak mulia dan bertanggungjawab.
“Pembangunan sebenar bermula dengan pembangunan insan,” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani MoU itu di Kolej AITC Kuching, dekat sini hari ini.
Snowdan berkata, usaha memperkasa modal insan memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, institusi pendidikan, industri, pertubuhan masyarakat dan organisasi berasaskan keagamaan kerana tiada satu pihak mampu melaksanakan agenda berkenaan secara bersendirian.
Beliau turut memuji fokus kerjasama itu yang memberi penekanan kepada bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kejururawatan, pengurusan penjagaan kesihatan serta pendidikan awal kanak-kanak yang disifatkan sebagai sektor penting dalam menyokong pembangunan ekonomi dan sosial Sarawak.
Menurutnya, TVET kini bukan lagi laluan pendidikan alternatif, sebaliknya menjadi pilihan utama dalam melahirkan profesional, teknologis, usahawan dan inovator yang memiliki kemahiran praktikal serta memenuhi keperluan industri moden termasuk tenaga boleh diperbaharui, ekonomi hidrogen, transformasi digital dan pembuatan maju.
Beliau berkata, sektor kesihatan juga memerlukan lebih ramai tenaga profesional berikutan peningkatan permintaan terhadap jururawat, penjaga kesihatan dan pengurus perkhidmatan kesihatan, khususnya dalam menghadapi populasi yang semakin menua serta perkembangan sistem penjagaan kesihatan negara.
Dalam pada itu, Snowdan menegaskan pendidikan awal kanak-kanak perlu terus diperkasakan kerana fasa awal kehidupan memainkan peranan penting dalam membentuk perkembangan intelek, emosi dan sahsiah seseorang, sekali gus mempengaruhi kejayaan mereka pada masa hadapan.
Beliau berkata, pendidikan berkualiti perlu bersifat holistik dengan memberi penekanan bukan sahaja kepada pencapaian akademik dan kemahiran teknikal, malah pembentukan nilai moral, integriti, disiplin serta daya tahan bagi melahirkan graduan yang memenuhi kehendak industri.
Menurutnya, pembangunan rohani dan nilai murni turut menjadi elemen penting dalam melahirkan pemimpin masa depan yang bertanggungjawab, beretika serta mampu menyumbang kepada pembangunan negara.
Snowdan turut menyifatkan Sarawak sebagai contoh terbaik keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama, dengan institusi pendidikan memainkan peranan penting dalam memupuk semangat perpaduan, saling menghormati dan kefahaman dalam kalangan pelajar.
Beliau berharap MoU berkenaan diterjemahkan kepada pelaksanaan program akademik yang inovatif, peluasan peluang biasiswa, latihan industri, pembelajaran sepanjang hayat serta program khidmat masyarakat bagi melahirkan graduan berkemahiran tinggi, berakhlak mulia dan mampu menyumbang kepada kemajuan Sarawak serta Malaysia.
Oleh Adi Safarman





