KUCHING: Memiliki pekerjaan yang baik dan stabil, mempunyai simpanan kewangan mencukupi serta memiliki rumah idaman menjadi keutamaan utama golongan muda Sarawak, berbanding berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, dapatan awal Tinjauan Pendapat Umum sempena sambutan Hari Penduduk Sedunia 2026 di Sarawak menunjukkan golongan muda masih mempunyai keinginan untuk berkahwin, namun mereka mahu memastikan kehidupan lebih stabil terlebih dahulu.
Beliau berkata, 68.3 peratus responden menyenaraikan pekerjaan yang baik dan stabil sebagai aspirasi utama, diikuti 66.7 peratus yang mahu mempunyai simpanan kewangan mencukupi dan 63.3 peratus mahu memiliki rumah idaman.
Bagaimanapun, hanya 46.7 peratus menyatakan berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri sebagai antara aspirasi utama mereka.
“Dapatan ini menggambarkan generasi muda masih berhasrat untuk berkahwin dan membina keluarga. Namun aspirasi tersebut tidak dapat direalisasikan tanpa sokongan dan ekosistem persekitaran yang kondusif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Hari Penduduk Sedunia 2026 Peringkat Negeri Sarawak di Dewan Tan Sri Aziz, Universiti i-CATS Kuching, di sini, hari ini.
Menurut Nancy, ekosistem berkenaan termasuk sokongan keluarga, kos sara hidup yang terkawal, peluang pekerjaan bersesuaian serta keseimbangan antara kerjaya dan kehidupan.
Katanya, persediaan ke arah kehidupan dan keluarga yang sejahtera perlu dimulakan lebih awal melalui pembentukan pengetahuan, nilai dan tanggungjawab.
“Kerana kesejahteraan generasi muda hari ini akan turut menentukan kualiti kehidupan ibu bapa, keluarga dan masyarakat pada masa depan,” katanya.
Nancy turut berkongsi pengalaman peribadi apabila bertanya kepada anaknya mengenai rancangan untuk berkahwin, namun dimaklumkan bahawa anaknya mahu menunggu sehingga mempunyai simpanan kewangan yang mencukupi.
Katanya, keadaan itu menunjukkan golongan muda hari ini semakin mengambil kira aspek kewangan dan kestabilan hidup sebelum membuat keputusan untuk berkahwin.
“Jadi kita nak melihat mereka mementingkan perkara ini tetapi menunjukkan rasa tanggungjawab mereka sebelum berkahwin,” katanya.
Dalam pada itu, Nancy berkata golongan muda berusia antara 15 hingga 29 tahun kini berjumlah kira-kira 644,000 individu atau 25.8 peratus daripada 2.45 juta penduduk Sarawak, sekali gus menjadikan mereka aset penting kepada masa depan negeri.
Katanya, keputusan generasi berkenaan dalam aspek kerjaya, perkahwinan dan mempunyai anak akan memberi kesan langsung terhadap hala tuju sosial, ekonomi serta demografi Sarawak.
Beliau berkata, isu kependudukan tidak seharusnya dilihat semata-mata melalui angka kadar kelahiran, perkahwinan dan kesuburan, sebaliknya perlu mengambil kira realiti kehidupan serta aspirasi golongan muda.
“Di sebalik statistik kadar kelahiran, perkahwinan, kesuburan dan perubahan struktur penduduk, terdapat realiti kehidupan serta aspirasi golongan muda yang perlu kita fahami.
“Justeru, isu kependudukan mesti juga menyentuh berkenaan kualiti kehidupan dan dapatan daripada generasi hari ini dan juga akan datang,” katanya.
Nancy berkata kerajaan melalui Dasar Keluarga Negara dan Pelan Tindakan Keluarga Negara 2026-2030 akan terus memperkukuh institusi keluarga secara mampan, termasuk menyediakan sokongan kepada generasi muda untuk membuat persediaan menuju perkahwinan, pembentukan keluarga dan keibubapaan.
Oleh Shahrul Qaizat





