
KUCHING: Lembaga Air Kuching (KWB) mengesahkan telah mengesan kebocoran paip besi mulur (ND DI) berdiameter nominal 800mm di Jalan Premat dan bakal memulakan kerja-kerja baik pulih pada Selasa, 8 April 2025, bermula 10.00 pagi.
Menurut kenyataan KWB, pemeriksaan di tapak bersama kontraktor yang dilantik dilakukan pada 7 April untuk menilai kaedah pembaikan paling berkesan tanpa menjejaskan bekalan air kepada pengguna.
“Semasa pemeriksaan, kami mendapati terdapat struktur konkrit dibina di atas paip sebagai pelindung.
“Kami akan mula kerja pengasingan paip utama terjejas untuk membolehkan pengorekan dilakukan.
“Pengguna di kawasan Petra Jaya, Demak Laut hingga Bako mungkin akan mengalami tekanan air rendah semasa kerja-kerja pembaikan dijalankan,” jelas KWB dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.
Tambah KWB dalam satu kenyataan, kebocoran tersebut dikenal pasti berlaku di bahagian tengah pembahagi jalan dan kerja pembaikan akan melibatkan penggunaan jentera berat.
“Kami menggesa semua pemandu dan pejalan kaki agar berhati-hati dan mematuhi arahan keselamatan trafik yang dipamerkan di kawasan terbabit.
“Kamu merakamkan penghargaan kepada orang awam atas kerjasama dan kefahaman sepanjang tempoh kerja baik pulih penting ini demi memastikan perkhidmatan bekalan air terus terjamin,” ujarnya.