SIBU: Seorang wanita berusia 31 tahun cedera selepas kenderaan dipandunya terbabas dan masuk ke dalam parit di Lebuh Raya Pan Borneo Batu 22, berhampiran Taman Peringatan Nirvana Sibu, hari ini.
Mangsa mengalami kecederaan patah kedua-dua kaki, patah tangan kiri, luka pada muka serta mengadu sakit di bahagian dada dalam kejadian kira-kira 11.27 pagi itu.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Zon Sibu, Andy Alie berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada 11.27 pagi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Jaya digerakkan ke lokasi.
“Setibanya di lokasi, pasukan mendapati kemalangan kendiri membabitkan sebuah kenderaan yang dipandu mangsa dari arah Bintulu menuju ke Sibu.

“Pasukan bomba menggunakan peralatan perlindungan diri (PPE) lengkap sebelum mengeluarkan mangsa yang berada di dalam parit,” katanya.
Menurutnya, anggota turut memasang penyokong leher (cervical collar) bagi menstabilkan keadaan mangsa sebelum mangsa diangkat menggunakan pengusung ke bahu jalan.
“Mangsa kemudian diserahkan kepada pasukan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan lanjut, manakala barangan peribadinya diserahkan kepada polis.
“Operasi tamat pada 12.43 tengah hari,” katanya.





