KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak merancang untuk menambat ringgit pada masa ini, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata melihat kepada penambatan ringgit yang dibuat sekitar 1998, keadaan ekonomi ketika itu berbeza berbanding sekarang.
Menurutnya dari segi kedudukan ekonomi pada 1998, pasaran saham pada masa itu jatuh sebanyak 76 peratus tetapi sekarang jika dilihat dari awal tahun ini pasaran saham sudah naik sebanyak enam peratus.
Selain itu, pinjaman daripada luar negara pada 1998 adalah pada 16 peratus daripada pada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding pinjaman daripada luar negara ketika ini hanya pada dua atau satu peratus.
“Kita lihat dari segi reserve (rizab) negara…rizab Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah sekitar RM13 bilion, ia lebih baik berbanding RM26 bilion pada 1998.
“Sehubungan itu, tiada keperluan untuk kita react (bertindak balas) dengan tergesa-gesa mengenainya. Memang kerajaan peka terhadap isu ringgit dan akan berusaha untuk menanganinya,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh yang ingin mengetahui adakah kerajaan merancang untuk menambat ringgit bagi mengekang atau menjaga aset negara.
Amir Hamzah berkata, penganalisa juga berpendapat bahawa ringgit akan mengukuh pada tahun ini ke tahap yang lebih baik dan diunjurkan meningkat kepada RM4.50.
“Menerusi Kerangka Ekonomi MADANI kita yakin ringgit akan berada pada kedudukan lebih baik pada masa depan,” katanya. – Bernama