
PETRA JAYA: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas hari ini menerima kunjungan hormat delegasi Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dari Sub-Daerah Bario yang hadir menyatakan penghargaan terhadap komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam membangunkan kawasan luar bandar, khususnya di Bario dan Ulu Baram.
Delegasi seramai 27 orang itu diketuai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, Datuk Gerawat Gala bersama Pemanca Caleena Laleng Sakai serta Presiden Rurum Kelabit Sarawak, Dato Isaac Lugun.
Pertemuan tersebut berlangsung di pejabat Datuk Amar Douglas di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini.
Dalam sesi berkenaan, para wakil masyarakat Kelabit menzahirkan penghargaan terhadap pelbagai inisiatif pembangunan yang telah dilaksanakan kerajaan negeri di kawasan pedalaman.
Antara kemudahan yang kini dinikmati penduduk termasuk penyediaan bekalan elektrik 24 jam, kemudahan internet dan telekomunikasi, projek bekalan air bersih serta penambahbaikan jaringan jalan raya luar bandar.
Pemanca Caleena Laleng Sakai berkata masyarakat Bario amat menghargai keprihatinan Datuk Amar Douglas yang sentiasa memberi perhatian terhadap keperluan rakyat di kawasan pedalaman.
Menurut beliau, perubahan ketara dapat dilihat hasil pelaksanaan pelbagai projek pembangunan oleh kerajaan negeri sejak beberapa tahun lalu.
“Dulu perjalanan dan komunikasi sangat mencabar, tetapi kini banyak kemudahan telah dinikmati rakyat hasil usaha kerajaan negeri,” katanya semasa sesi dialog bersama Datuk Amar Douglas.
Delegasi itu turut menyifatkan perjalanan darat sejauh 375 kilometer dari Miri ke Bario yang dilakukan Datuk Amar Douglas tahun lepas sebagai satu usaha bersejarah.
Mereka berpandangan lawatan tersebut membuktikan kesungguhan beliau untuk memahami sendiri cabaran yang dihadapi rakyat di kawasan pedalaman.

Menurut mereka, lawatan itu juga menjadi antara faktor penting kepada keputusan kerajaan Sarawak mengambil alih serta mewartakan jalan-jalan balak di Ulu Baram sebagai jalan negeri.
Langkah itu dilihat mampu memastikan penyelenggaraan jalan dapat dilaksanakan secara lebih teratur dan sistematik demi manfaat masyarakat setempat.
Sementara itu, Uggah menegaskan kerajaan negeri akan terus memberi fokus kepada pembangunan luar bandar supaya jurang pembangunan antara bandar dan pedalaman dapat terus dirapatkan.
“Kita mahu rakyat di pedalaman menikmati kemudahan yang setanding dengan kawasan lain. Pembangunan mesti dirasai secara menyeluruh tanpa mengira lokasi,” katanya.
Beliau turut memaklumkan usaha menaik taraf jalan luar bandar, jambatan serta lanjutan landasan Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Bario akan terus diperkasa bagi meningkatkan aksesibiliti dan merancakkan pertumbuhan ekonomi masyarakat setempat.
Oleh Adi Safarman