Kerajaan Sarawak sedia RM260 juta laksana pendidikan universiti percuma

Facebook
WhatsApp
PREMIER Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berucap di Majlis Makan Malam Pemimpin Bersama Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Sarikei, di Dewan Sentral Sarikei, hari ini.

SARIKEI: Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM260 juta tahun ini bagi melaksanakan dasar pendidikan universiti percuma untuk anak Sarawak yang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, dasar itu bertujuan memastikan lebih ramai anak Sarawak berpeluang melanjutkan pengajian tinggi tanpa dibebani kos pengajian, sekali gus melahirkan modal insan berkualiti bagi memenuhi keperluan ekonomi masa depan.

Katanya, seramai 4,800 pelajar telah mendaftar bagi pengambilan pertama, manakala pengambilan kedua dijangka melibatkan lebih 5,000 pelajar.

“Kita mahu semua anak Sarawak yang diterima masuk ke universiti milik Sarawak dapat melanjutkan pelajaran secara percuma.

“Ada pihak yang membayarnya, iaitu kerajaan Sarawak yang dipilih oleh rakyat.”Waktu ini kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang membiayainya. Bajetnya untuk tahun ini ialah RM260 juta,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Pemimpin Bersama Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Sarikei, di Dewan Sentral Sarikei, hari ini.

Abang Johari berkata, universiti yang terlibat dalam pelaksanaan dasar tersebut ialah Universiti Swinburne Kampus Sarawak di Kuching, Universiti Curtin Malaysia di Miri, Universiti Teknologi Sarawak (UTS) di Sibu dan Universiti ICATS di Kuching.

Katanya, institusi berkenaan menawarkan pelbagai bidang pengajian baharu yang selaras dengan perkembangan ekonomi global, termasuk bidang analitik siber, keselamatan siber, aeroangkasa angkasa lepas dan teknologi maklumat berasaskan data.

KMKK menyerahkan cenderamata kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Apa yang menjadi asas pembangunan pada hari ini ialah kepandaian dan ilmu yang dimiliki.

“Sebab itu anak-anak kita yang lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan berpeluang melanjutkan pelajaran ke universiti perlu kita galakkan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menggesa KMKK memainkan peranan penting dalam memberi kefahaman kepada masyarakat mengenai dasar-dasar kerajaan agar rakyat memahami setiap inisiatif yang dilaksanakan.

Katanya, hubungan erat antara KMKK, masyarakat dan pentadbiran kerajaan Sarawak akan memastikan dasar yang dirancang dapat dilaksanakan dengan berkesan, sekali gus mengekalkan keamanan serta menjamin pertumbuhan ekonomi negeri.

“Peranan kita sebagai pemimpin ialah menggalakkan anak-anak kita supaya tekun dalam pendidikan dan mengisi universiti kita sendiri.

“Melalui ilmu baharu inilah mereka akan memperkukuhkan ekonomi Sarawak pada masa hadapan,” katanya lagi.

Turut hadir ialah Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar; Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah; Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki; Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Malaysia yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan ADUN Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii.

Oleh Earl Anek