KUCHING: Kerajaan Sarawak bercadang menawarkan harga tiket lebih rendah berbanding syarikat penerbangan lain dalam penubuhan syarikat penerbangan butiknya sendiri.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Kerajaan Sarawak perlu memulakan rancangan bercita-cita tinggi ini walaupun ia mungkin tidak menguntungkan kerana berdepan dengan isu tambang penerbangan yang terlalu tinggi terutamanya pada musim perayaan.
“Tengok harga (tiket penerbangan) sekarang. Dari Miri ke Lawas kira-kira RM700 untuk sehala dan dari Miri ke Kuching pun boleh mencecah sehingga RM1,000.
“Ahli Parlimen Bandar Kuching mula mempersoalkan keuntungan. Kami melakukan ini untuk menyediakan lebih banyak pilihan perjalanan udara, memudahkan kehidupan terutamanya untuk rakyat Sarawak,” katanya selepas sidang media mengumumkan program Spartan Sarawak 2023 di Bangunan Baitulmakmur II di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii mempersoalkan kebolehlaksanaan ekonomi Sarawak menubuhkan syarikat penerbangan sendiri kerana boleh memberi kesan negatif kepada ekonomi negeri.
Tambah Abdul Karim, dengan adanya syarikat penerbangan butik Sarawak sendiri, Kerajaan Persekutuan akan bersuara dalam menentukan tambang penerbangan yang turun naik secara drastik semasa perayaan seperti Hari Raya dan Tahun Baharu Cina.
Tegasnya, menyediakan pengangkutan awam merupakan tanggungjawab kerajaan dan perkhidmatan itu tidak jikalau dilaksanakan tidak semestinya menguntungkan, bukan sahaja di negeri ini namun seluruh dunia melalui ketidaktentuan ekonomi.
“Tiada syarikat pengangkutan awam di dunia yang benar-benar menjana pendapatan. Anda boleh semak, sama ada Japan Railway atau mana-mana kereta api di Eropah, semuanya disubsidi oleh kerajaan.
“Adakah KTM (Keretapi Tanah Melayu) mengaut keuntungan? Tidak mungkin. Kerajaan terpaksa mengeluarkan wang untuk mengurangkan harga. Itulah yang kami cuba lakukan.
“Apabila saya membaca (kenyataannya) saya juga terkilan. Apa yang dia cuba maksudkan? Adakah dia cuba mengatakan Kerajaan Sarawak hanya bermain-main? Apa yang ada dalam fikirannya? Adakah dia berfikir bahawa ahli politik akan berebut untuk membuat wang daripada itu?,” katanya.
Dalam perkembangan lain, mengenai nama syarikat penerbangan butik itu, Abdul Karim berharapan ia akan menjadi sesuatu yang menarik buat semua.
Oleh Mohd Neenatul Aizal