KUCHING: Kerajaan Sarawak telah menyediakan insentif sebanyak RM2.25 juta kepada atlet Para SUKMA XXI Sarawak 2024 yang berjaya memenangi pingat dalam temasya tersebut.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak sebelum ini turut menyediakan insentif bernilai RM1.84 juta kepada atlet SUKMA.
Katanya, ia akan menjadikan jumlah keseluruhan insentif yang diberikan oleh kerajaan Sarawak kepada atlet Para SUKMA dan SUKMA Sarawak yang berjaya melebihi RM4 juta.
“Kami bersedia menyalurkan segala bentuk sokongan, baik dari segi moral mahupun kewangan, untuk memberi perhatian dan sokongan kepada pembangunan.
“Oleh itu, tahun ini kami memberikan insentif yang tinggi. Bagi Para SUKMA, kita memenangi banyak pingat, termasuk emas, perak dan gangsa.
“Jumlah keseluruhan insentif yang disediakan oleh kerajaan Sarawak adalah RM2,256,900.00.
“Doakan agar Sarawak terus maju, dengan pendapatan yang meningkat, supaya kita dapat membangunkan sektor sukan di negeri ini dengan lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Insentif Kontinjen Sarawak Sempena Temasya Para SUKMA XXI Sarawak 2024 di sini, hari ini.
Pada majlis sama, Abang Johari turut menyempurnakan insentif sebanyak RM500,000 kepada atlet Paralimpik negara, Bonnie Bunyau Gustin atas kejayaannya mempertahankan emas powerlifting dan pecah rekod dunia di Sukan Paralimpik Paris baru-baru ini.
Selain itu, beliau turut menyampaikan insentif kepada tiga atlet cemerlang Para SUKMA Sarawak, iaitu Fraidden Dawan yang menerima RM67,500 manakala Galang Jabai dan Rusdianto Rusmadi masing-masing membawa pulang RM47,500.
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian; Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah dan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Untuk rekod, Kontinjen Sarawak muncul juara keseluruhan Para SUKMA edisi kali ini dengan mengumpul 82 pingat emas, 53 perak dan 74 gangsa, jauh mengatasi Sabah yang meraih 62 emas, 42 perak, dan 32 gangsa.
Oleh Mohd Neenatul Aizal