IPOH: Kerajaan MADANI akan terus memperhalusi kemungkinan meningkatkan jumlah bantuan kepada rakyat, termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), sekiranya keadaan ekonomi negara mengizinkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu telah dibincangkan bersama Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican, dan akan dipertimbangkan dalam pembentangan belanjawan akan datang.
“Jadi, ini saya katakan ikhtiar yang terus kita lakukan. Bagi penerima STR dan SARA, saya beritahu, jika keadaan ekonomi mengizinkan, saya telah bincangkan perkara ini semalam. Saya turut memanggil Ketua Setiausaha Perbendaharaan untuk berbincang sama ada mungkin kita boleh menambah lagi bantuan.
“Dalam Belanjawan nanti, saya akan fikirkan bagaimana untuk menambah peruntukan bagi membantu rakyat,” katanya ketika berucap pada Program MADANI KITA Bersama Komuniti Tambun anjuran Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman, dan Ketua Pengarah RELA, Datuk Rosli Yaakub.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata kerajaan turut memberi perhatian terhadap kebajikan pasukan keselamatan, termasuk anggota RELA yang membantu menangani isu keselamatan dan bencana di negara ini.
“RELA juga memainkan peranan yang besar. Selain menjaga keselamatan, mereka turut menyantuni rakyat. Tahun lalu, kita meluluskan peruntukan RM3 juta, namun tentunya jumlah itu masih tidak mencukupi.
“Jadi, bagi menjaga kebajikan anggota RELA, saya bersetuju untuk meneruskan program itu dan pada tahun ini, kita memperuntukkan lagi RM3 juta untuk kebajikan RELA,” katanya. — Bernama



