SIBU: Kerajaan Madani disaran menyediakan pelan insurans khas untuk pekerja asing tanpa mewajibkan majikan tempatan membayar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pekerja asing.
Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Dudong, Wong Ching Yong berkata langkah untuk memaksa majikan tempatan membayar dana simpanan pekerja kepada pekerja asing akan mengurangkan kadar dividen kepada pencarum sedia ada KWSP tanpa memberi manfaat kepada ekonomi negara.
Beliau yang juga Timbalan Setiausaha Penganjur SUPP Pusat berkata pengumuman Belanjawan 2025 telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan komuniti usahawan.
“Jika tujuannya untuk melindungi kebajikan asas pekerja asing, cukup sekadar menyediakan pelan insurans yang melindungi mereka dari segi perubatan dan keselamatan pekerjaan.
“Ini boleh dicapai tanpa menambah beban kewangan kepada majikan tempatan,” katanya ketika ditemui pada program Mobile Service2U SUPP Team Dudong, hari ini.
Katanya, Singapura telah menutup akaun simpanan pusat bagi pekerja asing sejak April 2024, yang membuktikan kelemahan ekonomi dalam mewajibkan sumbangan KWSP sama bagi pekerja asing.
“KWSP direka khusus untuk melindungi persaraan warganegara Malaysia, dan sumbernya perlu dijaga untuk kepentingan rakyat tempatan.
“Sekiranya pekerja asing turut dilibatkan dalam KWSP, sumber dana KWSP akan terjejas, di samping memberi kesan ekonomi negatif kepada usahawan tempatan,” katanya.
Wong turut mengingatkan bahawa pekerja asing akan pulang ke negara asal setelah bekerja di Malaysia.
Namun, katanya, jika mereka menjadi ahli KWSP, dividen tahunan masih akan dibayar kepada mereka, menyebabkan aliran keluar dana yang boleh menjejaskan rizab pertukaran asing Malaysia.
“Jika 2.5 juta pekerja asing, yang merangkumi 15 peratus daripada tenaga kerja, menjadi ahli KWSP, adakah negara kita mampu menyediakan dividen tambahan berjumlah ratusan juta ringgit setiap tahun untuk dibayar kepada mereka?
“Apakah manfaat kewangan dan ekonomi daripada menambah 2.5 juta pekerja asing sebagai ahli KWSP?.
“Kerajaan Madani tidak boleh mengabaikan hakikat bahawa sehingga Jun 2024, hutang Kerajaan Persekutuan telah mencapai RM1.2 trilion, atau 63.1 peratus daripada KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar).
“Di samping itu, defisit fiskal bagi 2024 turut diunjurkan pada 4.3 peratus daripada KDNK, iaitu sebanyak RM85.4 bilion,” katanya.
Wong menekankan bahawa dasar ini akan meningkatkan kos operasi bagi majikan, malah akan menjejaskan keluarga yang menggaji pembantu rumah.
Kenaikan kos pengambilan pekerja asing, tegasnya, boleh menyebabkan syarikat-syarikat mengurangkan pekerja tempatan atau menaikkan harga barang, yang akan menambah beban kepada rakyat yang sudah tertekan dengan kos sara hidup yang meningkat.
Wong turut menggesa agar Ahli Parlimen dari Kerajaan Madani, termasuk Alice Lau dan Oscar Ling, memahami kesusahan rakyat yang sedang berdepan dengan inflasi, penurunan nilai ringgit, dan kelembapan ekonomi global.
Oleh TARANI LANTING