
BETONG: Peruntukan berjumlah RM650,000 menerusi Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) telah dibelanjakan untuk menaik taraf jalan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Spaoh yang kini sudah siap dilaksanakan sepenuhnya.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata kerajaan terus memberi fokus dalam menyediakan prasarana pendidikan terbaik kepada sekolah di negeri ini termasuk di luar bandar.
“Pagi tadi saya melawat SMK Spaoh dan kita melalui BDDA telah meluluskan RM 650,000 untuk kerja menaik taraf jalan-jalan dalam kawasan sekolah.
“Saya gembira ia siap dilaksanakan sepenuhnya,” katanya selepas majlis Angkat Sumpah Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan Ahli-Ahli Majlis Daerah Betong (MDB) hari ini.
Uggah turut memberitahu Betong bakal mempunyai pejabat daerah yang baharu dan perkara itu sudah dikemukakan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan apabila siap kelak menjadi mercu tanda baharu bagi Daerah Betong.
“Betong akan membina pejabat daerah yang baharu dan saya sudah menyampaikannya kepada Premier yang mana bila siap kelak akan menjadi mercu tanda di Betong,” ujarnya.
Beliau turut menekankan pentingnya peranan ahli majlis sebagai pemimpin di peringkat akar umbi, penghubung antara kerajaan dan rakyat dalam menyampakan segala dasar dan program rakyat.
Turut hadir Timbalan Menteri Belia Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Gerald Rentap Jabu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohammad Razi Sitam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Razaili Gapor, Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli dan Residen Bahagian Betong, Richard Micheal Abunawas.
Oleh Adi Safarman