ADI SAFARMAN
BETONG: Sasaran kerajaan yang berusaha membeli hasil petani dan pekebun menerusi Jabatan Pertanian merupakan inisiatif membantu pihak terbabit daripada mengalami kerugian dengan lambakan hasil yang tidak dapat dijual akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pegawai Pertanian Bahagian Betong, Petrus Kang memberitahu dalam usaha itu, kerajaan menerusi Jabatan Pertanian Bahagian Betong memberi peluang kepada penglibatan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Saribas dan PPK Kalaka membantu petani dengan membeli hasil pertanian mereka agar tidak berlaku lambakan hasil disebabkan PKP yang dilanjutkan.
“Tujuan asal program Jualan Hasil Tani adalah bagi membantu petani menjual hasil pertanian mereka yang sukar dipasarkan akibat PKP.
“Secara tidak langsung pihak kami melalui PPK yang terbabit memborong hasil pertanian daripada petani agar dapat memberi pulangan atas usaha mereka dan tiada lambakan hasil pertanian.
“Kerajaan menghargai usaha petani yang mampu memajukan pertanian sekali gus menggalakkan ekonomi penduduk dan melonjakkan pendapatan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui pada program Jualan Hasil Tani Terus Dari Ladang, Bahagian Betong di hadapan Tasik Bandar Baharu Medan (Kanopi Night Market) di sini semalam.
Tambahnya, hasil tidak dapat disimpan lama kerana ia akan rosak dan bagi mengelak ia menjadi rosak dan buruk Jabatan Pertanian berusaha membantu mereka dengan membeli secara borong dan hari ini mereka berusaha untuk menjual kepada pengguna dengan harga yang lebih murah.
“Walau bagaimanapun aktiviti yang sama mungkin akan diteruskan namun bergantung kepada produk yang dihasilkan dan jika ada hasil pertanian yang mengalami lambakan pihak Jabatan Pertanian akan terus membantu.
“Selain itu, ia juga bergantung kepada sambutan daripada pengguna yang sanggup datang membeli, jika berterusan mungkin kita akan mengadakan lagi program seperti ini nanti,” ujarnya.
Petrus membayangkan untuk pelaksanaan program selepas tamat tempoh PKP akan diteruskan jika ada sumber kewangan yang disalurkan daripada Kementerian Pertanian dan Indusri Tani bagi memborong hasil daripada petani.
Dalam pada itu, program yang dijadualkan bermula jam 10.00 pagi terpaksa diawalkan berikutan sambutan daripada pengunjung yang datang seawal jam 8.30 pagi.