
KUCHING: Penentuan tarikh rasmi sambutan Hari Raya tahun ini masih bergantung kepada keputusan cerapan anak bulan yang akan dijalankan pada 19 Mac ini, kata Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Abdul Rahman Junaidi.
Menurut beliau, spekulasi yang mengatakan Aidilfitri bakal disambut pada Jumaat depan hanyalah andaian dan belum diputuskan secara rasmi.
Katanya, rombongan Majlis Islam Sarawak (MIS) bersama beberapa agensi berkaitan akan mengadakan Majlis Cerapan Hilal Syawal di Damai Resort, Teluk Bandung pada 19 Mac.
“Saya akan mengetuai rombongan daripada Majlis Islam Sarawak yang terdiri daripada Jabatan Mufti, Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) dan beberapa agensi lain untuk melihat anak bulan.
“Selepas majlis cerapan tersebut barulah kita dapat membuat pengumuman rasmi mengenai tarikh Hari Raya,” katanya ketika ditemui media pada program IIC Cares: Semarak Kasih Ramadan di Surau Raudzatul Salihin, Kampung Boyan di sini hari ini.

Beliau menjelaskan, bagi Sarawak cerapan hilal akan dilakukan secara serentak di tiga lokasi iaitu Damai Resort di Kuching, Pusat Falak Miri dan Pusat Falak Bintulu.
“Keputusan sama ada kita akan berhari raya pada Jumaat atau Sabtu bergantung kepada dua faktor iaitu cerapan anak bulan dan juga pengiraan falak.
“Jadi kita tidak dapat membuat keputusan awal kerana ia perlu menunggu pengumuman rasmi oleh pihak Jabatan Mufti dan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata spekulasi mengenai Hari Raya pada Jumaat kemungkinan timbul kerana beberapa negara di Asia Barat dan Eropah memulakan puasa sehari lebih awal berbanding Malaysia.
“Disebabkan mereka puasa lebih awal, kemungkinan mereka akan menyambut Aidilfitri lebih awal juga. Namun kita di Malaysia tetap menunggu keputusan cerapan hilal yang akan diumumkan secara rasmi,” ujarnya.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meluluskan peruntukan sebanyak RM2.69 juta kepada Persatuan Tahfiz Sarawak bagi menyokong pelbagai aktiviti pendidikan tahfiz di negeri ini.
Menurutnya, permohonan tersebut dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof yang juga Pengerusi Persatuan Tahfiz Sarawak.
“Dana itu akan digunakan untuk pelbagai aktiviti termasuk menaik taraf kemudahan serta program pembangunan institusi tahfiz di Sarawak,” katanya.
Beliau menambah, setakat ini terdapat kira-kira 23 hingga 24 pusat tahfiz di Sarawak yang berdaftar dengan Majlis Islam Sarawak.
Terdahulu, Abdul Rahman menghadiri program IIC Cares: Semarak Kasih Ramadan yang menyaksikan aktiviti gotong-royong memasak bubur kacang untuk diagihkan kepada penduduk setempat.
Program tersebut dianjurkan dengan kerjasama Pusat Maklumat Islam (IIC), Tabung Baitulmal Sarawak, Belia PBB Pantai Damai serta beberapa rakan strategik lain termasuk Seoul Hotpot.
Dalam program itu, hampir 500 pek bubur kacang disediakan untuk diagihkan kepada penduduk Kampung Boyan dan kawasan sekitarnya sebagai sebahagian daripada tradisi komuniti menjelang Ramadan.
Oleh Shahrul Qaizat