
AKU menulis semua ini pada hari kelima selepas pemergiannya. Lima hari yang terasa seperti jarak antara dua dunia.
Akumasih ingat hari itu dengan jelas. Bapak mengadu sesak nafas di Institut Jantung Negara. Aku pula berada jauh, menunggu suamiku dan adikku datang mengambilku kerana kereta kami tidak dapat digunakan. Sejak kereta suamiku rosak, kami berkongsi satu kereta, dan pada saat genting itu aku tidak tahu kenapa aku tidak memanggil Grab sahaja. Kenapa aku menunggu. Kenapa aku tidak bergerak sendiri.
Soalan itu tidak pernah berhenti berulang dalam kepalaku sampai sekarang. Aku tidak sempat tiba sebelum bapak menghembuskan nafas terakhirnya. Aku tidak sempat meminta maaf. Tidak sempat berterima kasih. Tidak sempat memandang wajahnya buat kali terakhir ketika dia masih hidup. Sesalan itu tidak pernah benar-benar reda.
Namun aku tahu, bapak pernah menyebut bahawa aku anaknya yang paling disenangi. Kata itu sepatutnya menenangkan, tetapi dalam waktu yang sama membuatkan kehilangan ini terasa lebih berat.
Bapak seorang yang tegas. Tegas pada prinsip, tegas pada kebenaran. Dia tidak pernah gentar mempertahankan apa yang benar, walaupun orang lain tidak menyukainya. Tetapi pada orang yang lembut dan baik, bapak juga lembut. Dia tidak suka menyusahkan orang, malah sering memilih jalan memudahkan urusan sesiapa sahaja yang datang kepadanya.
Sebelum menjadi pegawai di Pejabat Pendidikan Daerah Samarahan, bapak ialah guru di pedalaman. Di sekolah kecil itu, dialah guru matematik, guru sukan, tukang kebun, orang yang membuka kunci sekolah setiap pagi, dan orang terakhir menutupnya petang hari. Dia membersihkan tandas, membaiki kerosakan bangunan, tinggal di kuarters yang sederhana, dan masih sempat mengadakan kelas tambahan percuma untuk murid yang lemah. Baginya, tugas guru bukan sekadar mengajar di dalam bilik darjah, tetapi menjaga sekolah seperti menjaga rumah sendiri.
Dalam kerjayanya, bapak pernah beberapa kali dikhianati ketika peluang kenaikan pangkat datang. Namun dia memilih diam dan bersabar. Dia tidak menjadikan pengkhianatan itu sebagai alasan untuk membalas atau mempertahankan diri. Baginya, kerja perlu diteruskan, bukan dibisingkan.
Dalam dunia kerjanya juga, bapak bukan sekadar menjalankan tugas yang tertulis di atas kertas. Dia bekerja dengan kesungguhan yang jarang diperkatakan orang, tetapi selalu dirasai oleh mereka yang bekerja bersamanya. Bapak bukan pegawai yang duduk jauh di pejabat dan hanya menunggu laporan sampai ke meja. Dia suka turun sendiri melihat keadaan sekolah, berbual dengan guru, dan memahami masalah sebelum membuat keputusan.
Bagi bapak, pentadbiran bukan soal kuasa, tetapi soal tanggungjawab. Dia selalu percaya bahawa kerja pendidikan bukan kerja seorang individu, tetapi kerja ramai orang yang saling memerlukan. Sebab itu dia tidak suka memperbesar kesalahan kecil guru. Selagi perkara itu boleh diperbaiki dan tidak memudaratkan murid atau organisasi, dia lebih memilih menasihat daripada menghukum. Katanya, seorang guru yang diberi peluang memperbaiki diri akan bekerja dengan lebih ikhlas daripada guru yang sentiasa hidup dalam ketakutan.
Ramai yang datang kepadanya bukan kerana jawatan, tetapi kerana sikapnya yang mudah didekati. Ada yang datang meminta pandangan tentang pentadbiran sekolah, ada yang datang mengadu masalah peribadi, dan ada juga yang hanya mahu didengar. Bapak jarang menolak. Dia mendengar dengan sabar, kemudian memberi pandangan yang ringkas tetapi jelas. Baginya, seorang pemimpin tidak perlu bercakap panjang, cukup memberi arah yang betul.
Aku pernah mendengar bapak berkata bahawa kerja yang baik bukan kerja yang membuat orang takut kepada kita, tetapi kerja yang membuat orang yakin kepada kita. Kata-kata itu mungkin sederhana, tetapi itulah prinsip yang dia pegang sepanjang hayat kerjanya. Dia tidak mengejar pujian, tetapi dia bekerja seolah-olah setiap tugas adalah amanah yang perlu dijaga dengan jujur.
Kadang-kadang aku fikir, dedikasi seperti itu tidak selalu tercatat dalam fail atau laporan rasmi. Tetapi ia hidup dalam ingatan orang yang pernah bekerja bersamanya. Ia hidup dalam cerita-cerita kecil yang mereka kongsi selepas dia tiada. Dari situlah aku sedar, tugas yang dilakukan dengan ikhlas mungkin tidak selalu kelihatan besar, tetapi kesannya boleh tinggal lama dalam hati manusia.
Bapak selalu menjadi pelita semangatku. Walaupun tegas dan kadang-kadang garang padaku, dialah orang yang paling risau jika anak-anaknya tidak berilmu. Dia pernah berkata, dia tidak punya harta untuk diwariskan, tetapi dia mahu memastikan kami berilmu supaya tidak hilang arah dalam hidup.
Ketika aku disahkan menghidap skizofrenia pada usia empat belas tahun, bapaklah antara orang yang paling kuat berdiri di belakangku. Pada mulanya aku enggan makan ubat. Aku marah pada takdir, marah pada tubuh sendiri. Bapak pernah memotivasikan aku dengan menerangkan satu persatu kenapa aku perlu menjaga diriku sendiri. Dia mengajar aku disiplin yang sederhana; makan ubat, rehat cukup, dan percaya bahawa hidup masih boleh diteruskan.
Dari situ aku belajar bahawa kasih bapak bukan pada kata, tetapi pada kesabaran yang tidak pernah habis. Walaupun wajahnya sering serius, bapak sebenarnya seorang yang kelakar dan ceria di rumah. Dia mudah memaafkan dan tidak menyimpan dendam. Mungkin kerana itu wajahnya tidak dimamah usia. Dia kelihatan muda hingga ada rakan sekerja tidak percaya dia hampir bersara.
Di kalangan rakan sekerjanya, bapak dikenali dengan satu nama lain — Tok Nan. Gelaran itu datang daripada seorang sahabat lama yang rapat dengannya, mengambil “Nan” daripada nama akhirnya. Dari situlah panggilan itu melekat. Rakan-rakan lain turut menyebutnya begitu, dan akhirnya Tok Nan menjadi nama yang menggambarkan kedudukannya di mata mereka; tempat bertanya, orang yang boleh diharap, dan sosok yang menenangkan dalam banyak urusan.
Bapak tidak pernah berkira soal makan. Selalu ada makanan. Selalunya dia pulang membawa ikan mahal atau buah tangan lain untuk kami kongsi. Baginya, kebahagiaan kecil keluarga bermula dari meja makan yang tidak pernah kosong.
Masa kecil bapak bukanlah senang. Datuk seorang nelayan, nenek suri rumah dengan anak yang ramai. Bapak sebagai anak sulung memikul tanggungjawab besar sejak kecil. Dia membantu menjaga adik-adik, menolong nenek ketika dalam pantang, mencipta lampu sendiri untuk rumah, menangkap hasil sungai, dan menganyam daun rumbia untuk dijual.
Nenek pernah berkata, bagaimana seorang anak kecil mampu memikul tanggungjawab begitu besar tanpa banyak mengeluh? Nenek kagum melihat bapak bekerja seperti orang dewasa sebelum waktunya. Kisah itu membuatkan aku faham bahawa sifat bertanggungjawab bapak bukan muncul ketika dewasa, tetapi sudah tertanam sejak kecil lagi.
Selepas tamat sekolah, bapak bekerja di JKR Betong sebelum masuk maktab perguruan. Gajinya kecil ketika mula menjadi guru, tetapi dia tidak pernah berhenti mencari jalan menambah rezeki. Kadang-kadang dia membuat kerja tambahan di luar, semata-mata supaya kami dapat menyambut hari raya dengan pakaian baru dan cukup keperluan sekolah. Aku masih ingat bagaimana dia membeli buku latihan sekolah menengah dalam jumlah banyak, disusun rapi di rumah, seolah-olah itu pelaburan paling penting dalam hidupnya.
Aku juga tidak pernah lupa satu perkara lain tentang bapak bahawa dia sebenarnya bukan selalu bersetuju dengan keputusanku. Banyak kali dia risau lebih daripada yang dia tunjukkan. Aku menulis semua ini pada hari kelima selepas pemergiannya. Lima hari yang terasa seperti jarak antara dua dunia.
Ketika aku mula menyatakan hasrat mahu menyambung pengajian ke peringkat ijazah di Semenanjung, bapak tidak mengizinkan. Dia tidak marah, tetapi wajahnya jelas berat. Dia risau aku jatuh sakit di tempat orang, jauh daripada keluarga, tanpa sesiapa yang benar-benar memahami keadaanku. Baginya, kesihatan aku lebih penting daripada apa-apa cita-cita.
Namun aku tetap berkeras mahu pergi. Aku mahu mencuba, mahu membuktikan bahawa aku mampu berdiri sendiri. Akhirnya bapak mengalah, bukan kerana dia yakin sepenuhnya, tetapi kerana dia tahu aku tidak akan berhenti berharap. Ada juga rakan-rakannya yang memberi sokongan, menyarankan agar aku mengambil bidang pendidikan kaunseling, bidang yang dekat dengan manusia dan pengalaman hidup.
Seperti yang bapak bimbangkan, aku benar-benar jatuh sakit di sana. Pengajianku tidak dapat diteruskan. Bapak dan emak sendiri datang ke Semenanjung mencari aku apabila aku tidak dapat dihubungi. Mereka membawaku pulang ke Sarawak untuk rawatan, untuk berehat, untuk kembali stabil. Waktu itu aku tahu bapak tidak pernah salah dalam kerisauannya. Tetapi dia juga tidak pernah berkata, “Aku sudah kata dulu.”
Beberapa tahun kemudian, aku cuba menyambung semula pengajian melalui program PJJ UiTM. Kali ini bapak tetap risau. Dia takut aku tidak mampu membawa beban pelajaran kerana penyakitku masih ada. Namun aku diam-diam meneruskan semester pertama. Bila keputusan keluar dan aku mendapat PNGK 4.0, UiTM menghantar keputusan itu ke rumah.
Bapak yang membukanya. Dia tidak berkata banyak. Dia hanya diam beberapa saat, kemudian menyerahkan keputusan itu kepadaku. Dalam diam itu, aku tahu dia sedang belajar untuk meredakan hatinya sendiri. Dia masih risau, tetapi dia mula percaya aku sedang berjuang dengan caraku.
Syukur aku sempat menamatkan pengajianku sebelum ayah pergi. Itu antara perkara yang paling aku syukuri dalam hidup. Ayah pernah menyimpan harapan supaya aku terus belajar setinggi mungkin, malah pernah menyebut tentang PhD, seolah-olah dia mahu melihat aku pergi sejauh yang aku mampu. Kini bila aku memikirkan hasrat itu, terasa seperti satu amanah yang masih berjalan. Ayah mungkin sudah tiada, tetapi keinginannya itu masih hidup dalam diriku.
Dalam kehidupan dewasa aku, bapak juga banyak menjadi tempat aku kembali ketika menghadapi masalah rumah tangga. Dia tidak pernah menghukum. Dia duduk, mendengar, kemudian membantu memikirkan jalan keluar dengan tenang. Pernah dia berkata, kalau aku benar-benar mahu mengejar cita-cita, dia sanggup membantu menjaga anak-anakku bersama emak. Kata-kata itu tidak pernah aku lupakan; bukan kerana aku benar-benar mahu meninggalkan anak-anak, tetapi kerana aku tahu bapak sentiasa mahu membuka jalan untuk masa depanku.
Bapak juga banyak mengajarku perkara yang nampak kecil tetapi sebenarnya membentuk hidupku sampai hari ini. Dia tidak banyak bercakap panjang tentang teori, tetapi dia mengajar melalui cara hidupnya sendiri. Bapak selalu menekankan bahawa kerja rumah juga perlu dibuat dengan bijak. Dia mengajar aku menyusun kerja supaya tidak membebankan diri, membahagi masa antara kerja luar dan urusan rumah, dan memastikan setiap perkara dilakukan dengan teratur. Baginya, rumah yang terurus bukan sekadar soal kebersihan, tetapi soal disiplin dan tanggungjawab terhadap kehidupan sendiri.
Kadang-kadang dia menunjukkan sendiri caranya menyelesaikan sesuatu kerja dengan cepat dan kemas. Dia tidak pernah merendahkan kerja rumah, malah selalu berkata bahawa orang yang tahu mengurus rumah dengan baik biasanya tahu mengurus hidupnya dengan lebih teratur.
Ada satu kisah yang pernah diceritakan oleh orang lain. Suatu ketika bapak diserang samseng di jalanan ketika keluar dari van. Dalam keadaan genting itu, bapak hanya berzikir dalam hati, memohon perlindungan Allah. Tidak lama kemudian, lelaki-lelaki itu tiba-tiba berundur dan pergi. Bapak tidak pernah membesar-besarkan kisah itu, tetapi bagiku ia menggambarkan satu perkara; dalam saat paling sukar pun, bapak memilih berserah kepada Tuhan.
Enam bulan sebelum bersara, bapak mula sakit tanpa diketahui puncanya. Selepas beberapa lama, doktor mengesahkan dia menghidap masalah sumsum tulang yang membawa kepada keadaan pra-leukemia. Demam berulang, sesak nafas, jangkitan mudah, dan alergi kulit menjadi teman hari-harinya.
Rumah kami perlahan-lahan berubah sunyi. Bapak tidak lagi banyak bercakap, tetapi matanya tetap memerhati. Kadang-kadang aku duduk di ruang tamu bersamanya tanpa berbual apa-apa. Dalam diam itu, aku tahu dia masih memikirkan masa depan kami.
Ketika berita pemergiannya sampai, aku menangis kuat, separuh menjerit, memanggil namanya supaya menunggu. Anak-anakku turut menangis. Zul yang baru berusia tujuh tahun berkata perlahan, “Mak, jangan bising.” Dija tertidur selepas menangis. Saat itu aku rasa seperti kehilangan arah.
Isnin itu sepatutnya hari rawatan bapak di Hospital Umum Sarawak. Doktor sudah merancang untuk bukan sekadar memberi suntikan rangsangan darah seperti biasa, tetapi menambah pint darah untuk menguatkan keadaannya. Namun kerana keesokan harinya Tahun Baharu Cina, pusat rawatan hanya dibuka separuh hari. Prosedur tambahan tidak dapat dilakukan. Mereka meminta bapak datang semula pada hari Khamis. Kami pulang dengan harapan masa masih panjang.
Selepas bapak meninggal, aku selalu tertanya dalam hati. Tidak bolehkah pemindahan itu diawalkan sedikit? Tidak bolehkah ada ruang untuk pertimbangan dalam keadaan bapak yang sudah lemah? Aku tahu bukan semua staf menyambut perayaan. Aku tahu sistem ada jadualnya sendiri. Namun sebagai anak, soalan itu tetap datang, bukan untuk menyalahkan sesiapa, tetapi kerana hati manusia selalu mencari kemungkinan yang mungkin boleh mengubah takdir. Aku tidak pernah menyuarakan soalan itu kepada sesiapa. Aku simpan saja dalam fikiranku. Barangkali jawapannya memang tidak akan pernah aku temui. Dan mungkin juga, pada akhirnya, aku belajar bahawa tidak semua perkara dalam hidup memerlukan jawapan. Ada yang hanya perlu diterima, walaupun hati masih bertanya.
Selasa tengah hari, ketika aku sedang menyertai gotong-royong di sekolah Zul, telefonku berdering. Suara bapak di hujung talian kedengaran perlahan, tidak seperti biasa. Dia berkata dia rasa tidak sihat, lain daripada hari-hari sebelumnya. Nafasnya pendek, dan katanya dia mahu ke Institut Jantung Negara. Bapak menyuruh aku mengambil Zul dan Dija dahulu.
Aku tidak punya kereta. Adikku yang membantu mengambil anak-anak dari rumah mak dan bapak, dan membawa kami pulang ke rumahku. Rumah terasa sunyi petang itu, tetapi kami masih sempat ke majlis tahlil jiran kerana menyangka keadaan bapak belum terlalu mendesak. Selepas pulang dari tahlil, aku bersiap untuk ke IJN. Aku menunggu suami dan adik datang mengambilku. Waktu itu aku masih menyangka ada masa. Aku tidak tahu bahawa penantian itulah yang memisahkan aku daripada pertemuan terakhir dengannya.
Di IJN, bapak sampai dalam keadaan lemah. Dia duduk di kerusi roda di bahagian kecemasan, menunggu namanya dipanggil. Pesakit lain datang kemudian, tetapi dipanggil lebih dahulu. Bapak yang biasanya sabar akhirnya bertanya kepada jururawat bila dia akan dipanggil. Tiada siapa tahu bahawa itu antara ayat terakhirnya.
Tidak lama selepas itu, bapak pengsan di atas kerusi roda, masih menunggu giliran. Adikku dan mak yang ada di situ segera menyorong kerusi roda bapak terus ke bilik rawatan, memanggil doktor dengan cemas. Doktor cuba melakukan CPR sebaik mungkin. Tetapi waktu itu, barangkali takdir sudah mendahului usaha manusia. Bapak pergi di situ.
Ketika berita itu sampai kepadaku, aku masih di rumah, masih menunggu untuk bergerak ke IJN. Dunia terasa berhenti seketika. Aku tidak sempat melihatnya. Tidak sempat memegang tangannya. Tidak sempat mengucapkan apa-apa.
Sejenak, ada niat dalam hatiku untuk membuat aduan rasmi. Aku terfikir untuk membawa perkara itu ke SISPA, kerana terasa seolah-olah bapak menunggu terlalu lama, seolah-olah tidak sempat diberi perhatian. Namun akhirnya aku menahan diri. Aku memilih reda. Aku hanya mahu bapak tenang, dan aku tidak mahu perjalanannya dibebani dengan kemarahan yang masih tertinggal di dunia.
Kerana punca kematiannya tidak dapat dipastikan ketika itu, bapak perlu melalui proses bedah siasat. Kami menunggu dengan sabar, walaupun hati terasa berat melihat jasadnya melalui prosedur yang tidak pernah kami bayangkan. Selepas selesai, barulah sijil kematian dapat dikeluarkan.
Hari pengebumian bapak dipermudahkan. Pulang pada 29 dan dikebumikan pada 30 Syaaban. Cuaca baik, tanah lembut, dan urusan berjalan lancar seolah-olah alam sendiri memberi ruang untuk kami mengiringinya pulang. Dalam hati, aku hanya mampu berdoa agar perpindahan alam bapak dipermudahkan, dan segala kesakitannya di dunia diangkat menjadi rahmat di sana.
Selepas urusan bedah siasat selesai, doktor memanggil adikku untuk menerangkan keadaan bapak. Doktor berkata jantung bapak sudah bekerja terlalu keras. Ia terpaksa mengepam lebih kuat daripada biasa kerana kandungan darah dalam tubuhnya semakin berkurang. Paru-parunya juga tidak lagi lembut seperti paru-paru sihat, tetapi menjadi keras. Buah pinggangnya pula tidak lagi merah seperti organ yang sihat. Warnanya bertukar pucat kemerahan, hampir ke arah merah jambu. Doktor menerangkan bahawa itu tanda fungsi buah pinggangnya sudah terjejas, juga akibat kekurangan darah untuk menyokong kerja organ-organ lain.
Ketika mendengar semua itu, hatiku terasa sayu. Selama ini kami hanya melihat bapak sebagai seorang yang sakit, tetapi tidak benar-benar memahami betapa tubuhnya sebenarnya sudah lama berjuang dalam diam. Dia berjalan, berbual, memberi nasihat, bahkan masih memikirkan masa depan kami, sedangkan di dalam tubuhnya, organ-organ itu sedang bekerja melampaui batas.
Aku hanya mampu berbisik dalam hati, kasihan bapak. Barangkali inilah sebabnya dia pergi dengan begitu cepat. Bukan kerana dia menyerah, tetapi kerana tubuhnya sudah tidak lagi mampu menanggung beban yang terlalu lama dipikul.
Tidak lama selepas berita tersebar, jiran-jiran mula datang. Ada jiran Cina berdiri lama di pintu pagar, seolah-olah masih tidak percaya. Ada jiran Iban datang dengan langkah perlahan dan mata yang basah. Saat itu aku sedar, bapak bukan sahaja bapak kepada kami, tetapi bapak ialah sebahagian daripada kehidupan masyarakat di sekelilingnya.
Kini yang mampu aku lakukan hanyalah berdoa dan bersedekah untuk bapak. Aku mohon agar Allah mengampunkan segala khilaf bapak di dunia, menerima amalnya, dan melapangkan tempatnya di sana. Jika ada kebaikan yang pernah dia lakukan kepada manusia, aku berharap itulah yang akan menjadi saksi baginya. Aku juga berterima kasih kepada sahabat-sahabatnya yang ikhlas menyayanginya. Mereka datang bukan kerana kewajipan, tetapi kerana kasih yang sudah lama terjalin.
Negara mungkin tidak mengenalnya sebagai tokoh. Tetapi aku tahu seorang lelaki pernah hidup dengan jujur di dunia ini. Dan Tok Nan itu ialah bapakku.
Oleh Sheril Aida binti Sulainan