Oleh: Roslan Jomel
“Masa depan bukanlah sesuatu yang tersembunyi di sudut. Masa depan adalah sesuatu yang kita bangun di masa sekarang” – Paulo Freire.
SEBUAH karya yang baik dan ditulis dengan serius, pasti meninggalkan pesona kepada pembaca. Berbanding dengan kualiti karya yang ditulis hanya di permukaan (tanpa konflik dan gagasan), ia tidak akan mengundang perhatian pembaca, sama ada secara emosional atau intelektual. Seorang pengarang yang baharu sahaja selesai menghasilkan karya yang dianggap hebat dan baik (memenangi pula hadiah penulisan/sayembara) oleh pengkritik, belum tentu mampu berjaya untuk menghasilkan karya yang serupa pada penulisan seterusnya. Kenapa? Ini kerana pengarang itu sudah malas dan tidak ghairah lagi untuk mempelajari aspek-aspek baharu dalam penulisan. Konon sudah berasa bagus.
Tetapi, apakah ciri-ciri karya yang dianggap menarik dan istimewa itu? Terlalu banyak esei sastera yang dikarang oleh sasterawan-sasterawan besar ketika memberi takrifan dan analisis tentang keunggulan sesebuah karya. Setiap contoh karya yang baik dan hebat (cerpen atau puisi, misalnya), dibincang dan ditemui makna-makna yang berhubungan dengan kemanusiaan. Ambil contoh, cerpen-cerpen Haruki Murakami. Pengarang begitu ahli mempersembahkan naratif yang kaya dengan pelbagai tafsiran, konflik yang mencengkam, perwatakan meyakinkan dan penggunaan bahasa yang mudah untuk diikuti oleh audiens.
Demikian pula contoh karya yang lemah dan sederhana, didedahkan betapa nipis dan ceteknya isi persoalan yang hendak dikemukakan. Mengapa terjadi hal sebegitu dalam bidang penulisan karya kreatif? Salah satu faktornya ialah, kurangnya pengalaman ketika hendak mengarang naskhah. Ditambah pula dengan kurangnya membaca karya-karya besar yang boleh dijadikan rujukan dalam usaha mengasah kemahiran dan pertukangan dalam urusan kepengarangan. Setiap penulis yang ingin menjadi pengarang berkaliber, wajib juga menjadi seorang pembaca yang cekal. Tidak ada yang hebatnya dengan gelaran penulis muda atau tidak ada istimewanya dengan gelaran penulis berpengalaman. Hanya kualiti yang dijadikan pembeza nilai.
Pertama kali, saya berasa agak kurang setuju dengan tajuk naskhah yang dikarang oleh Bandang Galayan, “Setitis Air dan Sekuntum Bunga Berputus Asa”. Bukan sahaja kedengaran dibuat-buat agar bernada puitis, tetapi kesan pesimistiknya juga merendahkan nilai moral penulisan. Sedangkan amanat dalam naskhah itu membawa pesanan mustahak. Itulah ekspresi segera yang melintasi fikiran saya sebaik sahaja berhadapan dengan naskhah bertema pendidikan itu. Bandang Galayan perlu lebih selektif ketika memberikan tajuk untuk penulisannya pada masa akan datang.
Pada perenggan pembukaan, pembaca terus mengetahui bahawa watak utama merupakan seorang cikgu yang berkhidmat jauh dari kampungnya sendiri. Itu perkara biasa jika ditawarkan sebagai tenaga pengajar. Rindu terubat apabila berdampingan dengan para pelajar. Sebagai cikgu yang komited, tugas yang diamanahkan bukan sekadar mengajar dalam bilik darjah. Selepas itu selesai. Namun cikgu yang dipaparkan dalam naskhah itu, sedar dengan peranan besarnya sebagai pembimbing anak murid agar menjadi insan yang bermanfaat. Gagal hadir ke sekolah, bermakna para pelajar telah terlepas mata pelajaran dan pengetahuan baharu.
Disebabkan itulah narator berasa risau dan kecewa kerana jumlah para pelajar berkurangan akibat hujan yang turun pada awal pagi. Hujan yang gugur dari kepulan awan atas kehendak Tuhan. Makhluk tidak mampu menghalangnya. Tetapi kejadian alam itu memberi kelebihan tertentu kepada segelintir anak murid. Seolah-olah hujan yang turun menjadi alasan kepada para pelajar untuk ponteng ke sekolah. Kenapa? Hujan yang turun akan merosakkan tekstur jalan. Apakah tiada jalan raya beraspal? Jangan lupa, latar belakang naskhah itu berlokasi di kawasan pedalaman. Pada tahun 2023, kemudahan pengangkutan dan pembinaan jalan raya moden masih menjadi isu yang berpotensi merencatkan ketamadunan sesebuah masyarakat.
Tema pendidikan pula bukan aspek baharu dalam ranah kesusasteraan, maka, apabila Bandang Galayan merakamkan isu pendidikan di kawasan pedalaman, pengharapan saya selalunya tinggi. Tetapi, malangnya, pengarang naskhah tidak berkeupayaan untuk mengheret subjek itu dengan penuh mendalam dan serius. Naskhah yang dihasilkan oleh pengarang terlalu mudah, sederhana dan tidak menggigit ke dalam nurani pembaca. Pengarang hanya berada di permukaan isu, bukan menggali dengan berani dan menawarkan pengalaman baharu. Itulah kekurangan yang ketara. Jika berkesempatan, saudara Bandang Galayan dicadangkan untuk membaca naskhah karangan Awangku Merali Pangeran Mohamed yang meneroka permasalahan warga tempatan yang kurang terdedah dengan sentuhan pembangunan.
Ada dua tema teras yang wajar dipertimbangkan oleh pengarang ketika menyunting naskhah itu. Pertama, keciciran para pelajar untuk hadir ke sekolah akibat fenomena alam dan pemikiran tradisi orang tua yang memandang pendidikan sebagai urusan yang tidak mustahak untuk masa depan generasi baharu. Sebagai pengarang, apakah alternatif yang terbaik untuk diwacanakan ke dalam naskhahnya? Dua aspek itu menjadi faktor penyumbang kepada keciciran warga tempatan untuk mencapai masa depan cemerlang. Cikgu yang rapat dengan murid bernama Jau itu, memang seorang tenaga pengajar yang berdedikasi. Setelah mendapat makluman bahawa badan Jau panas dan mengalami muntah, cikgu itu pantas pergi meninjau keadaan muridnya.
Perjalanan ke klinik yang berdekatan pula mengambil masa lebih dua jam. Hal itu juga meresahkan cikgu. Cikgu yang komited itu semakin cemas kerana pelajar bernama Jau sudah beberapa hari tidak hadir ke sekolah. Apa yang terjadi? Apakah Jau benar-benar sakit atau memang sudah tidak berminat untuk menimba ilmu? Alangkah kecewanya cikgu itu andai Jau ditimpa penyakit kronik dan terbiar tanpa dibantu oleh sesiapa pun. Tidak tertahan memendam kebimbangan yang bersarang dalam fikirannya, cikgu itu menggagahkan diri untuk menempuh perjalanan menemui Jau dan neneknya. Ternyata, Jau dan neneknya dalam keadaan baik sahaja. Tetapi, mengapa pula Jau tidak hadir ke sekolah seperti sebelumnya?
Setelah diselidik, rupa-rupanya nenek Jau enggan melepaskan cucunya ke sekolah. Kalau Jau ke sekolah, setiap hari, siapakah yang akan membantu nenek itu untuk menuai padi? Alangkah bingung cikgu itu apabila terperangkap dengan soalan demikian. Tetapi cikgu itu ada solusi untuk meringankan beban nenek Jau. Bahkan dialah yang akan turut bersingsing lengan membantu nenek itu menuai padi dan melakukan pekerjaan lain. Manakala Jau, tetap hadir ke sekolah seperti biasa, seperti para pelajar lain. Bagi cikgu itu, Jau merupakan pelajar yang cerdas. Kasihan Jau, kalau dia terlalu awal meninggalkan bangku persekolahan.
Sungguh besar harapan Jau, agar cikgu komited itu dapat mencairkan pendirian nenek untuk membenarkannya hadir ke sekolah. Jau sungguh rindu dengan suasana di sekolah dan rakan-rakannya. Setelah berbincang, akhirnya nenek Jau dengan rela mengizinkan cucunya untuk meneruskan alam persekolahan. Dengan penuh hikmah cikgu itu mengatakan di depan nenek Jau, bahawa ilmu sangatlah penting dalam kehidupan pada masa sekarang. Bukan semata-mata untuk belajar untuk meneruskan kelangsungan hayat sahaja. Tanpa ilmu, seseorang tu pasti jauh ketinggalan berbanding orang lain. Dan hal itu pasti merugikan sesebuah bangsa dan negara. Bak kata, Paulo Freire, “Pendidikan tidak mengubah dunia. Tetapi pendidikan mengubah seseorang. Dan manusialah yang mengubah dunia.”
Perkara yang dirisaukan oleh nenek Jau dalam karangan Bandang Galayan, secara tidak langsung mewakili sikap dan pemikiran generasi lama. Betapa kompleks algoritma dan perspektif mereka dalam melalui kehidupan dipegang daripada nenek moyang terdahulu. Sementara generasi baharu yang inginkan kebebasan dan memberontak daripada cengkaman segala pantang-larang daripada keyakinan orang-orang lama, mahu tidak mahu akan dianggap sudah melupakan adat resam dan pegangan tradisi. Hal demikian tidaklah benar. Sifat ingin belajar dan mencintai susana persekolahan yang ada pada diri Jau, tidak membuatkan sikap dan kepercayaan (generasi muda) tentang budaya setempat sudah tiada maknanya lagi pada kehidupan sekarang.
Jose Rizal, pengarang dan intelektual dari Filipina telah menghasilkan sebuah buku bertajuk Kemalasan Pribumi Filipina (tajuk asalnya, The Indolence of The Filipinos), untuk memerikan betapa dahsyatnya malapetaka yang bakal menimpa sesebuah masyarakat dalam negara jika mengabaikan aspek kecerdasan intelektual dalam kehidupan mereka. Akibatnya, kejahilan dan kemelaratan mereka akan dipergunakan oleh pihak asing untuk mengaut sumber kekayaan dan seterusnya bertindak selaku penguasa negara. Penggunaan istilah peribumi pemalas hanya alasan terselindung pihak kolonial untuk terus bertapak (berkuasa) dan merampas kemewahan yang terdapat dalam sesebuah negara itu. Hal itu tidak akan terjadi jika warga tempatan menyedari betapa pentingnya ilmu sebagai perisai dan senjata untuk bersaing dalam menempuhi arus kehidupan pada masa mendatang.
Syukurlah, Jau dibenarkan kembali untuk menghadirkan diri ke sekolah. Nenek Jau, tentu gembira dan berbesar hati apabila cikgu yang komited sanggup bergotong-royong membantu pekerjaan menuai padi. Itulah janji yang diberikan oleh cikgu itu. Biarlah Jau menikmati hak asasi dan zaman kanak-kanaknya diisi rutin menimba sebanyak-banyaknya ilmu yang diajarkan di sekolah. Hal ini kerana, pendidikan formal di sekolah adalah salah satu cara untuk menunaikan hak kanak-kanak itu. Di sanalah nanti setiap kanak-kanak bukan sahaja menumpukan perkembangan dalam bidang akademik, malahan juga membangun aspek yang lebih luas, iaitu kemahiran insaniah seperti personaliti, bakat serta keupayaan mental dan fizikal yang berguna untuk jati diri dan keperibadian mereka kelak.
Nenek Jau sudah tidak bertenaga sebagaimana orang-orang muda. Maka, sebab itulah dia keberatan untuk melepaskan Jau hadir ke sekolah. Sikap dan cara pandang nenek Jau memang sudah berakar umbi dalam corak pemikiran generasi lama. Tetapi mereka lupa, bahawa setiap zaman, kehendak dan suasana persekitaran di dunia sudah jauh berbeza. Sistem pekerjaan dan kemudahan dalam menghasilkan jumlah produktiviti sudah meningkat berkali ganda. Hal demikian tidak akan dapat dicapai tanpa kemahiran dalam menguasai budaya kerja yang baharu dan kompeten. Pekerjaan tradisi yang dipraktikkan sebagai penanam padi sudah tidak lagi sesuai dengan perubahan teknologi dalam kehidupan semasa. Hanya dengan ilmu-ilmu baharu dan pengetahuan kontemporari, sesebuah masyarakat itu akan berdaya maju.
Hubungan baik antara cikgu dan anak murid terakam jelas dalam naskhah karangan Bandang Galayan itu. Dapatlah diibaratkan bahawa cikgu itu umpama setitis air yang akan direnjis ke atas sekuntum bunga agar tidak terus layu. Jau diumpamakan sebagai anak benih, perlu dijaga dengan sempurna agar berkembang dan memberikan hasil kepada masyarakat sekeliling. Sungguh benarlah teladan yang ingin ditunjukkan oleh cikgu itu dalam memikul tugas yang telah diamanahkan. Cikgu yang penuh bersemangat itu, tidak mahu anak muridnya mengalah dengan keadaan serba kekurangan. Hadir ke sekolah bukan semata-mata untuk lulus dalam mata pelajaran. Tetapi dengan hadirnya ke sekolah, anak murid dan cikgu bergabung dalam usaha untuk membina sikap, karakter dan wawasan untuk kebaikan hidup ada masa depan.
Naskhah “Setitis Air dan Sekuntum Bunga Berputus Asa”, sebenarnya membawa isu pendidikan. Itu inti penulisannya yang memberi kekuatan kepada Bandang Galayan menghasilkan naskhah itu sehingga siap. Dan tema pendidikan itu sangat relevan dan masih tetap relevan dalam ranah kesusasteraan. Namun sebagai naskhah karya kreatif, ia belum lagi dianggap telah mencapai kesempurnaan dari segi naratologinya. Oleh sebab ditulis dengan kaedah yang sederhana, maka, kesan dan impaknya kepada pihak pembaca juga sangatlah sederhana. Walaupun saya maklum, apa yang ingin dikemukakan oleh pengarang ialah tentang pentingnya pendidikan kepada semua lapisan masyarakat. Sama ada di bandar atau pedalaman. Hal itu bukan main-main. Tanpa mendapat pendidikan yang sempurna, besar kemungkinan seseorang mudah terjebak oleh penipuan atau diperhambakan oleh pihak tertentu.
Barangkali pengarang naskhah ialah seorang cikgu yang sebenar. Jadi apa yang dikarang oleh beliau, sudah tentu diilham daripada pengalaman terdekat. Hubungan akrab antara cikgu dan anak muridnya tertayang dengan penuh visual sekali. Mereka pergi memancing bersama-sama dan menikmati makan tanpa ada batasan penghalang hubungan. Itu suatu kelebihan kepada pengarang kerana lebih dekat dengan isu yang hendak dibicarakan dalam naskhah. Pandangan dan kerisauan yang bermain-main dalam fikirannya, terasa lebih tulen, jujur dan tidak dibuat-buat. Cikgu itu seolah-olah menganggap Jau sebagai adik kandungnya sendiri.
Namun apa yang menjadikan naskhah itu kelihatan sederhana ialah, pengarang tidak mendalamkan isu dengan lebih jauh. Penyelesaian naskhah dan konfliknya terlalu mudah dan biasa sahaja. Persoalan jalan raya, kelengkapan perubatan dan bagaimana hendak merubah pemikiran generasi lama tentang pentingnya pendidikan, wajar diperhalusi lagi. Apa yang dialami oleh Jau, hanyalah satu kes terpencil. Terdapat lebih ramai lagi para pelajar terbiar dan hanyut dalam dunia kerana tidak dibimbing dengan penuh komited oleh mereka yang diamanahkan.
Jika Bandang Galayan masih mahu terus menulis naskhah yang mengangkat tema pendidikan, pertajamkanlah setiap persoalan yang hendak diangkat dengan menambahkan lagi bahan bacaan karya sastera sebagai pemangkin kemahiran dalam penulisan. Menulis naskhah dari kaca mata seorang guru lebih berkesan kerana perspektif mereka lebih jernih dan tepat. Tiada yang memalukan untuk menulis naskhah tentang dunia pendidikan. Tema demikian masih relevan dan wajar dihormati dalam ranah kesusasteraan kontemporari.