MAKLUMAT disleksia. Sumber Kementerian Kesihatan Malaysia
Bukan sahaja sukar membaca suku kata, kadang kala memandang huruf ‘b’ bagaikan ‘d’ dan ‘p’ umpama ‘q’ juga menyebabkan kanak-kanak tercicir dan ketinggalan dalam pembelajaran.
Demikianlah antara masalah sering dihadapi mereka yang menghidapi disleksia namun, apa yang lebih mencabar adalah ketika masalah itu tidak difahami keluarga terdekat malah tidak disedari guru-guru di sekolah.
Perkara ini bukan kerana mereka tidak pandai, namun disebabkan perbezaan cara otak berfungsi dalam menghubungkan simbol visual dengan bunyi membuatkan mereka sukar menguasai atau memahami tugasan yang diberikan.
Apa itu disleksia?
Menurut Pakar kanak-kanak di salah satu hospital swasta di Kuala Lumpur, Dr Salehuddin Sulaiman, kesemua kanak-kanak disleksia akan mengalami masalah pembacaan dan amat sukar untuk memahami sesuatu perkara.
Katanya, sekiranya pelajar normal membaca secara automatik, bagi kanak-kanak disleksia mereka akan membaca secara perlahan.
“Ini kerana mereka sedang mengeja di dalam minda disebabkan otak mereka menumpukan banyak tenaga untuk mengeja, maka aspek pembacaan yang lebih penting, iaitu kefahaman akan terjejas.
“Untuk kanak-kanak normal, otak mereka mungkin mengambil masa setengah saat untuk menutur huruf ‘baca’ namun kanak-kanak disleksia memerlukan dua saat untuk menghasilkan bunyi ‘ba’ dan dua saat lagi untuk ‘ca’,” katanya menerusi laporan Bernama pada Ogos 2019.
Tambah beliau lagi, pada masa sama otak disleksia yang berjaya menghasilkan bunyi ‘ca’, mungkin sudah lupa bunyi ‘ba’ dan ini menyebabkan mereka tidak memahami apa yang dibaca.
Mereka bagaikan perlu ‘berjuang’ untuk membaca dan biasanya dalam tulisan mereka, akan ada huruf yang tertinggal atau salah. Contohnya, ‘mengayuh’ jadi ‘megayuh’ dan ‘ cacat’ jadi ‘cacak’, katanya.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah,l berkata, disleksia adalah satu ketidakupayaan membaca yang dihadapi seseorang.
Sebagai contoh katanya, mereka yang menghidapi masalah ini, sesuatu huruf atau abjad yang dilihat oleh mereka tidak sama seperti bagaimana individu lain melihat huruf tersebut.
“Kadang-kadang mereka boleh sebut tetapi bila disuruh baca, mereka tidak dapat dan tidak pandai,” katanya pada Majlis Kesejahteraan Komuniti ‘Tautan Kasih’ Bersama Penghuni Sekolah Henry Gurney di Padawan baru-baru ini.
Impak individu menghadapi disleksia
Disleksia boleh dikaitkan dengan keadaan lain seperti Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) dan autisme kerana kadang-kadang kanak-kanak mungkin mempunyai keadaan itu selain disleksia.
Disebabkan masalah membaca, pelajar disleksia juga sering kali dilabel sebagai murid bermasalah atau nakal oleh guru yang tidak faham masalah mereka sedangkan mereka sebenarnya boleh dibentuk dengan cara tersendiri.
Masalah dileksia antara punca seorang tidak dapat menguasai pembelajaran menyebabkan mereka merasa rendah diri, hilang keyakinan dan menjadi punca berlakunya masalah sosial.
Ini kerana ada diantara mereka berusaha mengatasi kelemahan tersebut dengan melakukan pelbagai perkara untuk menarik perhatian orang lain.
Ada sesetengah penghidap disleksia turut melihat huruf bergerak-gerak dan ada juga huruf yang seolah-olah ‘berlari’ di sekeliling kertas, menyebabkan kanak-kanak itu mengambil masa yang lama untuk membaca.
Tambahan lagi, atas sebab itu juga, mereka lambat menyalin tulisan guru atau menyalin nota yang diberikan selain sering melakukan kesilapan ketika membaca huruf, perkataan atau nombor.
Hal ini secara tidak langsung menyebabkan mereka tidak suka membaca atau mengambil bahagian dalam kelas.
Rawatan
Sehubungan itu, ibu bapa yang mengesyaki anak-anak mempunyai ciri-ciri disleksia segera membawa mereka berjumpa doktor untuk diagnosis mereka supaya boleh diletakkan dalam program khas disleksia yang disediakan di beberapa sekolah.
Semakin awal diagnosis disleksia dibuat adalah lebih baik kerana ia dapat segera ditangani.
Rawatan terbaik untuk disleksia adalah menggunakan kaedah pengajaran yang tepat bagi membentuk asas pembelajaran terutama dalam ejaan, membaca dan pengiraan.
Setelah asas itu dibina, kebanyakan kanak-kanak disleksia dapat menjalani kehidupan normal.
Teknik pengajaran khusus telah terbukti memberikan hasil positif bagi membantu kanak-kanak disleksia belajar. Salah satu pendekatan pengajaran yang biasa digunakan adalah pendekatan multisensori iaitu mereka diajar menggunakan lebih daripada satu pancaindera.
Selain itu, ibu bapa atau guru juga boleh menggunakan penanda warna, kapur, blok dan peralatan pembelajaran yang berbeza juga dapat membantu anak belajar dengan lebih baik.
Selalu berikan arahan dengan perlahan dan kuat untuk memastikan anak memahaminya. Pengulangan mungkin juga diperlukan.
Kanak-kanak disleksia mengalami kesukaran untuk fokus. Oleh itu, lebih berkesan mengajar mereka dengan banyak rehat berbanding mengajar secara berterusan selama berjam-jam.
Semasa mengajar pula, disarankan sering menggunakan kaedah kreatif dan menyeronokkan seperti permainan pembelajaran untuk menarik perhatian mereka
Mereka juga wajar diberi peluang kedua kerana dengan kaedah pengajaran betul dan sokongan berterusan ibu bapa di rumah membuatkan anak-anak ini boleh menguasai kemahiran atau pembelajaran sendiri.
Oleh SYAMIMI HUSNA