Kemudahan kesihatan akan menjadi keutamaan di daerah ini bagi menampung keperluan penduduk yang dijangka mencecah 260,000 orang menjelang tahun 2030.
Timbalan Menteri Kesihatan II merangkap Ahli Parlimen Kanowit, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, keperluan tersebut penting bagi memberikan perkhidmatan kesihatan yang lebih baik kepada penduduk di Bintulu ini.
“Buat permulaan Klinik Kesihatan Kidurong akan dibina bagi memberikan perkhidmatan kesihatan yang lebih baik kepada penduduk di bahagian seluas negeri Terengganu itu”.
“Tapak telah dikenal pasti dan diperoleh dan sekarang kita tunggu kelulusan dan peruntukan bagi pembinaan klinik tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa lawatan kerja ke Hospital Bintulu, baru-baru ini.
Menurutnya, bagi menyediakan fasiliti untuk menampung keperluan itu, beberapa buah kemudahan kesihatan yang telah dicadangkan dan masih dalam perancangan.
“Kemudahan lain yang masih dalam cadangan ialah pembinaan sebuah hospital di daerah Tatau, Klinik Kesihatan Samalaju dan Klinik Kesihatan Kakus termasuklah Klinik Kesihatan Kidurong,” katanya.
Sementara itu, Bintulu kini mempunyai sebanyak 12 Klinik Kesihatan, sebuah klinik komuniti dan sebuah Klinik Kesihatan Ibu dan Anak.
Semasa lawatan tersebut Datuk Aaron turun memaklumkan bahawa Hospital Bintulu bakal memiliki satu lagi blok bangunan bernilai RM400 juta dalam masa terdekat ini.
Jelas beliau pembinaan bangunan baharu itu diyakini mampu menempatkan sekitar 250 katil pesakit.
“Dengan pembinaan ini nanti dilihat sebagai langkah terbaik bagi menampung jumlah pesakit yang meningkat”
“Pembinaan bangunan ini nanti sekaligus bakal memberikan keselesaan buat setiap pesakit yang ditempatkan di hospital sekaligus menamatkan masalah kesesakan di wad pesakit di Hospital Bintulu,” katanya.
Semasa lawatan tersebut, Aaron sempat turun ke tapak cadangan projek pembinaan Klinik Kesihatan Kidurong di Jalan Tanjung Kidurong.
Dalam lawatannya, beliau turut berpuas hati dengan fasiliti yang dimiliki Hospital Bintulu bagi membuat saringan untuk mengesan wabak Covid-19.
“Dengan adanya kemudahan sedemikian akan memudahkan urusan pengambilan sampel darah individu disyaki dijangkiti wabak itu yang mana ujian dapat dijalankan terus di Bintulu tanpa perlu dihantar ke Sibu atau Miri seperti sebelum ini.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan akan memastikan fasiliti perubatan seperti hospital dan klinik kesihatan di negeri ini akan terus dinaik taraf serta dilakukan penambahbaikan dari masa ke masa dalam usaha menyediakan kemudahan kesihatan terbaik untuk rakyat di negeri ini.
Oleh Ellie Edward