PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menggesa setiap kementerian dan agensi meningkatkan kecekapan operasi masing-masing dalam setiap urusan melibatkan rakyat.
Berucap pada majlis perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri bagi Februari 2023 di sini, Anwar berkata, cabaran ketika ini adalah untuk mengangkat martabat pentadbiran negara ke tahap yang lebih tinggi dan terpuji.
Beliau berkata, keikhlasan pemimpin dan penjawat awam dalam melaksanakan tugas mampu membebaskan rakyat dari segala bentuk penindasan.
“Tanggungjawab pemimpin dan penjawat awam juga adalah untuk membebaskan rakyat dari segala bentuk penindasan, rakyat yang diperbodohkan, dan mengambil harta rakyat hingga hak mereka tersisih,” katanya.
Anwar berkata di peringkat penguatkuasaan masih wujud kecuaian dan ia perlu diperbaiki dengan segera.
“Kalau terpaksa berbaris berjam-jam untuk mendapat apa-apa lesen, itu bagi saya perlu diperbaiki,” katanya. – Bernama