Kemenangan ke atas Perancis bukti England semakin hampir dengan kelompok elit — Tuchel

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

MIAMI, Amerika Syarikat: Thomas Tuchel menyifatkan England telah mengambil langkah pertama untuk merapatkan jurang dengan pasukan bola sepak terbaik dunia selepas menewaskan Perancis dalam aksi dramatik yang menyaksikan 10 gol terhasil, sekali gus menamatkan saingan di tempat ketiga Piala Dunia 2026.

Penyerang Arsenal, Bukayo Saka, meledak hatrik ketika England mencatat kemenangan 6-4 dalam perlawanan menghiburkan di bawah bahang cuaca panas Miami, manakala bintang Perancis, Kylian Mbappe, mencipta sejarah sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman Piala Dunia selepas menjaringkan dua gol.

Sehari sebelum perlawanan itu, Tuchel mengakui masih merasai kekecewaan susulan kekalahan 1-2 England kepada Argentina dalam aksi separuh akhir pada awal pagi Khamis (waktu Malaysia) sambil menegaskan kepentingan untuk merapatkan jurang dengan juara bertahan itu selain Perancis dan Sepanyol.

Pengendali kelahiran Jerman itu, yang menerima kritikan hebat daripada media England berikutan pendekatan taktikal berhati-hati ketika menentang Argentina, berkata kemenangan ke atas Perancis membuktikan pasukannya telah menunjukkan perkembangan positif.

“Kami mempunyai kemampuan untuk merapatkan jurang itu, tetapi mereka juga mempunyai kemampuan untuk melebarkannya semula,” katanya kepada BBC.

“Lapan tahun lalu mereka (Perancis) adalah juara. Empat tahun lalu mereka beraksi di final. Memang ada sedikit jurang, tetapi tiada masalah. Kami mahu merapatkannya.

“Saya berkata semalam bahawa hari ini adalah langkah pertama untuk merapatkannya. Kami berjaya melakukannya. Kami menewaskan mereka. Cabaran seterusnya ialah Sepanyol dalam Liga Negara-Negara.”

Tuchel berkata semangat juang yang dipamerkan pemain England memberikan tenaga tambahan kepada pasukan, walaupun keletihan dan kesakitan akibat kegagalan mara ke final masih dirasai.

“Melihat sebuah pasukan berjuang seperti ini memberikan anda tenaga. Keletihan akan datang selepas ini. Kami masih akan merasakan kesakitan apabila esok adalah perlawanan akhir. Ia akan mengambil masa, tetapi secara keseluruhan ia memberikan saya lebih banyak tenaga berbanding apa yang diambil daripada saya,” katanya. — AFP