
KUCHING: Kemboja bercadang menghantar pelajar melanjutkan pengajian ke Sarawak dalam bidang profesional seperti kejuruteraan, perakaunan dan undang-undang, kata Menteri Kanan Misi Khas (Hal Ehwal Islam) negara itu Oknha Datuk Dr Othsman Hassan.
Beliau berkata perkara itu dinyatakan ketika mengadakan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Kompleks Satria Pertiwi, di sini hari ini.
“Setakat ini belum ada pelajar Kemboja melanjutkan pengajian di Sarawak kerana mereka yang menerima biasiswa semuanya ditempatkan di Kuala Lumpur.
“Kami berharap Premier Sarawak akan menyokong kemasukan pelajar ini … jumlah pelajar belum dimuktamadkan lagi,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Abang Johari.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata sebanyak 100 pelajar Muslim asnaf dari Kemboja menerima biasiswa penuh daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bernilai RM4.5 juta untuk menyambung pengajian di tiga institusi pengajian di Malaysia.
Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata pembinaan Sekolah Islam Antarabangsa di Sarawak yang dijangka siap pada 2027 akan menerima pelajar dari negara anggota Majlis Dakwah Islamiah Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP) termasuk Kemboja.
“Jadi, pelajar sekolah menengah dari Phnom Penh akan diundang untuk belajar di sekolah antarabangsa ini yang turut mengambil kira pengambilan pelajar dari negara-negara anggota RISEAP,” katanya.
Abdul Rahman berkata dalam pertemuan dengan Abang Johari, Othsman turut memohon agar Phnom Penh dimasukkan sebagai destinasi penerbangan AirBorneo sekiranya syarikat penerbangan itu memulakan operasi kelak.
AirBorneo atau dahulunya dikenali sebagai MASwings kini telah menjadi milik rasmi Sarawak sebagai syarikat penerbangan pertama di negeri itu.– Bernama