Laluan terus Limbang-Miri tanpa melalui Brunei dijangka siap lima tahun

Facebook
WhatsApp
SALAM MERDEKA…Paulus bersalaman dengan masyarakat Bisaya yang hadir pada Program JIWA @ Komuniti MADANI @ Merdeka. Foto Jabatan Penerangan Sarawak

LIMBANG: Projek pembangunan asas, jalan raya, bekalan air dan elektrik sedang rancak dibina di kawasan Batu Danau yang bakal mengubah landskap pembangunan di kawasan luar bandar itu secara menyeluruh.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Dato Paulus Palu Gumbang berkata ia merangkumi projek-projek di bawah kerajaan negeri, persekutuan dan Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) melalui Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) untuk dinikmati penduduk luar bandar.

“Projek pembangunan ini sudah bermula, antaranya pembinaan baharu Jalan Ulu Lubai, kerja-kerja pembersihan untuk jalan NRDA dari Medamit hingga ke Pulau Brunei.

“Pelaksanaan empat pakej Projek Rangkaian Jalan Raya Sarawak-Sabah (SSLR) yang telah pun bermula di kawasan Ulu Limbang. Ini menandakan bahawa dalam tempoh kurang daripada lima tahun akan datang, kita akan mempunyai laluan ke Miri tanpa perlu melalui Brunei,” katanya.

RUMAH BISAYA…Paulus dan rombongan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2025 melawat rumah kebudayaan Bisaya. Foto Jabatan Penerangan Sarawak

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Program JIWA@Komuniti MADANI@Merdeka di Dewan Kebudayaan Persatuan Bisaya Sarawak, Batu Danau, Limbang semalam.

Jelasnya, kawasan Batu Danau dan Medamit bakal mengalami tranformasi dan dihubungkan dengan dunia luar apabila projek itu siap dalam tempoh lima tahun menjelang 2030.

Oleh Adeng Edrus