Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • RENCANA
  • Kembara D’Astana: Menjejak warisan, sejarah dan peradaban
  • RENCANA

Kembara D’Astana: Menjejak warisan, sejarah dan peradaban

Utusan Sarawak 4 hours ago

HENING pagi 2 Mei 2026, di celah deruan ombak pesisir dan rimbun hijau bakau Sarawak, Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi telah mencatat sejarah tersendiri, setelah mengadakan pelayaran Kembara D’Astana Ke Lingga. 

Tun Pehin Sri dan Toh Puan merakam gambar bersama rombongan dan petugas sebelum bertolak ke Kampung Triso.

Program kembara pada 2 hingga 3 Mei 2026 itu, bukan sekadar siri lawatan kerja rasmi, tetapi merupakan perjalanan nostalgia dalam menyantuni rakyat dan mengimbau kembali denai sejarah yang membentuk jati diri Yang di-Pertua Negeri.

Dengan menggunakan Katamaran Damai Princess sebagai wahana pelayaran, kembara ini turut disertai oleh anakanda-anakanda Sharifah Fariah, Sharifah Nong-Jasima dan suami, Muhammad Nur Hakeem, serta Setiausaha Sulit Kanan Yang di-Pertua Negeri, Dato’ Sri Syed Hamzah Syed Paie.

Kapal Catamaran Damai Princess

Pelayaran epik yang bermula seawal jam 6.15 pagi, belayar dari Terminal Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) Pending menuju ke destinasi pertama, yang bukan sekadar titik persinggahan di peta, melainkan tanah tumpah darah Tun Pehin Sri sendiri, Kampung Triso.

Tun Pehin Sri dan Toh Puan menikmati pemandangan dari atas Catamaran Damai Princess dalam perjalanan ke Kampung Triso.

Seawal pelayaran bermula, redup mata menatap ke arah pemandangan Muara Tebas dan kemegahan Jambatan Sejingkat yang sedang mengubah landskap negeri. 

Saat melewati Pulau Burung dan Pulau Triso Laut, memori kecil Tun Pehin Sri terpanggil. 

Tun Pehin Sri berkongsi cerita tentang zaman kanak-kanak, mengekori ayahanda memburu burung di pulau-pulau tersebut; antara sebuah nota kehidupan abadi yang membentuk jati diri beliau sebelum bergelar pemimpin besar.

Menziarahi pusara lama keluarga di tanah perkuburan kampung Triso.

Setibanya di Kampung Triso, jejak pertama Tun Pehin Sri dan Toh Puan ialah menziarahi pusara lama keluarga di tanah perkuburan kampung, sebelum mengunjungi tapak rumah lama serta telaga minum yang menjadi kenangan abadi pada awal kehidupan beliau. 

Ketibaan Tun Pehin Sri dan Toh Puan disambut meriah oleh pemimpin masyarakat dan penduduk Kampung Triso.

Diikuti dengan pertemuan mahabah bersama 21 waris keluarga besar Allahyarham Tuanku Anis Tuanku Bujang di kediaman Ketua Kampung, Awang Mos Sulaiman, ia menjadi wadah istimewa dalam menyantuni waris-waris keluarga yang masih menetap di Kampung Triso serta mengimbau kembali pelbagai kenangan lama bak bunga mekar di dahan yang tinggi, tapi harumnya tetap dari akar yang dalam. 

Sebelum meninggalkan Kampung Triso, Tun Pehin Sri dan Toh Puan serta rombongan berkesempatan bersua muka dengan penduduk di Masjid Kampung Triso yang teruja menyambut kehadiran pemimpin yang disayangi semua ini. 

Kembara kemudian diteruskan ke Sebuyau, sebuah daerah yang kini sedang rancak bertransformasi dengan pembinaan Jambatan Batang Lupar. 

Tun Pehin Sri dan Toh Puan menyaksikan persembahan ngajat oleh penduduk Sebuyau semasa ketibaan.

Kehadiran Tun Pehin Sri dan delegasi di Sebuyau segera diisi dengan ziarah kasih ke kediaman Almarhum sepupunya, Wan Morsidi Tuanku Haji Sait (Wan Dinel), yang baru sahaja dijemput Ilahi. Kehadiran pemimpin nombor satu negeri itu memberikan kekuatan moral buat keluarga, khususnya balu almarhum Sharifah Hasiah Tuanku Mashor.

Pada sebelah malam di Sebuyau pula diadakan Majlis Wida sempena keberangkatan Tun Pehin Sri dan Toh Puan ke Tanah Suci bagi menunaikan ibadah haji di Masjid Al-Muflihin yang dihadiri oleh kira-kira 500 orang ahli keluarga, kaum kerabat dan penduduk setempat. 

Tun Pehin Sri dan Toh Puan menghadiri majlis Wida sempena keberangkatan ke Tanah Suci di Masjid Al-Muflihin Sebuyau.

Selain berkumpul solat berjemaah bersama, bacaan Yassin, tazkirah haji serta doa keselamatan juga dipanjatkan rakyat sebagai iringan buat sosok pemimpin yang bakal menjadi tetamu Allah itu.

Pada hari kedua, destinasi terakhir membawa rombongan ke Pekan Lingga, “Pekan Terubok” yang menyimpan rahsia sejarah pentadbiran Sarawak yang jarang diceritakan.

Di sini, Tun Pehin Sri menyempurnakan majlis penyerahan manuskrip Lingga-Banting, termasuk Kanun Banting-Lingga; iaitu sebuah bukti dokumentasi lama yang membuktikan masyarakat tempatan sudah mempunyai sistem tadbir urus kendiri (self-governance) yang matang sejak sekian lama. 

Tun Pehin Sri dan Toh Puan melihat dengan dekat pameran salasilah keluarga  yang merekodkan garis keturunan (geneaologi) pembesar dan keluarga diraja/bangsawan yang pernah memerintah Kerajaan Banting-Lingga di Dewan Masjid Al-Hana Lingga.

Tun Pehin Sri turut meneliti pameran senjata warisan dan salasilah keluarga bangsawan Lingga, selain menyampaikan sumbangan kepada Masjid Al-Hana. Pertemuan ini bukan sekadar sebuah majlis rasmi, tetapi merupakan satu kepulangan kasih yang menyentuh sanubari di bumi Lingga.

Tun Pehin Sri dan Toh merakam gambar kenangan bersama ahli-ahli keluarga almarhum sepupunya, Wan Morshidi Tuanku Sait di Sebuyau.

Seterusnya, Tun Pehin Sri dan Toh Puan turut merakamkan gambar kenangan bersama waris keluarga Tuanku Tubi Tuanku Lada Al Yahya telah menganyam kembali titian ukhuwah yang begitu mendalam.

Ahli-ahli keluarga yang lain adalah Penghulu Wan Amit Wan Kamil dan Sharifah Zaleha Wan Kamil, Wan Shamsu Wan Kamil, Wan Drahman Tuanku Yassin serta Wan Ahmad Nadziran Wan Amit, Marjanah Abin, Wan Arman Wan Drahman, Wan Hussin Wan Drahman, Wan Hafis Wan Drahman dan Aminah Abdullah.

Tun Pehin Sri menerima Manuskrip Kanun Banting-Lingga daripada bekas Temenggong Lingga, Bohari Abang Zain.

Semoga ukhuwah yang terjalin ini terus mekar dan diberkati olehNya buat selama-lamanya.

ADUN Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor menyifatkan kunjungan Tun Pehin Sri itu umpama “sirih pulang ke gagang”. Bagi Tun Pehin Sri, Triso, Sebuyau, dan Lingga bukan sekadar kawasan politik bagi bekas Ahli Parlimen Batang Lupar yang telah menabur khidmat bakti selama 14 tahun di kawasan tersebut, tetapi ia menyimpan arkib memori keluarga yang sarat dengan nilai sentimental.

Kembara D’Astana berakhir dengan satu mesej yang jelas: jurang geografi bukan penghalang perpaduan. Daripada nelayan di muara sungai hingga kepada peniaga kecil di pekan, rakyat melihat Tun Pehin Sri bukan sekadar simbol kuasa, tetapi sebagai figura sang ayahanda yang pulang untuk mendengar, merasai dan memayungi kebajikan anak buahnya.

Jejak warisan telah ditelusuri, ukhuwah telah diperkukuh; kembara ini semestinya mengukir kenangan indah dan tersemat kemas dalam lipatan sejarah Sarawak.

  • Samuel Simon adalah Setiausaha Akhbar kanan kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak

Continue Reading

Previous: Rakyat Malaysia di Belgium perkenal budaya menerusi ‘Jom Lepak 2026’
Next: Bukan soal satu

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.