
LOS ANGELES, Amerika Syarikat: Beberapa mangsa dilaporkan terkorban, manakala beberapa lagi mengalami kecederaan parah selepas berlaku kebocoran bahan kimia di sebuah kilang di negeri Washington, di barat laut Amerika Syarikat, menurut pihak berkuasa pada Selasa.
Sebuah tangki yang mengandungi bahan dikenali sebagai white liquor pecah di Nippon Dynawave Packaging Company di Longview, kira-kira sejam di utara Portland, berhampiran sempadan Washington–Oregon, menurut satu kenyataan.

“Maklumat awal menunjukkan bahawa kejadian itu mengakibatkan beberapa kecederaan kritikal,” kata kenyataan bersama syarikat berkenaan dan Jabatan Bomba Longview.
“Pihak berkuasa turut mengesahkan terdapat kematian yang berkaitan dengan insiden tersebut.”
Kenyataan itu bagaimanapun tidak menyatakan jumlah mangsa yang maut atau cedera, tetapi menegaskan bahawa tiada ancaman kepada orang awam.
Akhbar Seattle Times yang memetik pegawai bomba melaporkan bahawa 10 cedera, iaitu sembilan pekerja syarikat dan seorang anggota bomba.
Kecederaan dilaporkan terdiri daripada ringan hingga kritikal.

White liquor ialah larutan beralkali kuat yang mengandungi natrium hidroksida dan natrium sulfida.
Bahan ini digunakan pada peringkat awal proses pembuatan kertas untuk memecahkan serpihan kayu bagi menghasilkan pulpa, iaitu bahan asas kepada kertas.
Nippon Dynawave Packaging, anak syarikat Nippon Paper Group dari Jepun, menyatakan di laman webnya bahawa ia menghasilkan lapan bilion bekas guna sekali setiap tahun untuk pelanggan di Amerika Utara, Asia dan seluruh dunia.
Insiden di Washington itu berlaku ketika kira-kira 16,000 penduduk masih dipindahkan dari kediaman mereka di Orange County, California, selepas sebuah tangki bahan kimia mudah meruap mengalami pemanasan berlebihan.
Anggota bomba yang mengendalikan insiden tersebut telah bekerja sejak Jumaat untuk menyejukkan 7,000 gelen (26,000 liter) metil metakrilat yang berisiko meletup serta mengeluarkan asap toksik di kawasan padat penduduk berhampiran Disneyland.
Pada Ahad, pihak berkuasa mengumumkan bahawa ancaman letupan besar telah berjaya dihapuskan, namun usaha masih diteruskan untuk mengawal tangki milik syarikat GKN Aerospace yang berpangkalan di United Kingdom. – AFP