SIBU: Kebakaran di Jalan Khoo Peng Long di sini merebak sehingga menjejaskan 10 daripada 13 lot kedai dalam kejadian yang berlaku petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, bangunan yang terbakar ialah struktur kekal tiga tingkat yang menempatkan pelbagai premis termasuk kedai makan, premis alat ganti kenderaan, peralatan perikanan dan kedai perkakasan.
Menurutnya, pasukan bomba menggunakan kaedah ofensif dan defensif bagi mengawal kebakaran serta menghalang api daripada merebak ke premis lain.
“Operasi berdepan beberapa cabaran termasuk api yang merebak dengan pantas, beban kebakaran yang tinggi, kehadiran bahan mudah terbakar dan laluan masuk ke lokasi yang terhad,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, tiada mangsa atau kecederaan dilaporkan setakat ini.
Sehingga 7.00 malam, kerja-kerja memadam kebakaran, pemeriksaan akhir (overhaul) dan pemantauan di lokasi masih diteruskan.
Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Oleh Tarani Lanting




