SIKKA, Indonesia: Seorang wanita berusia 84 tahun yang lumpuh ditemukan masih hidup tiga hari selepas rumahnya musnah akibat gempa bumi kuat di sebuah pulau di Indonesia, kata seorang pegawai, ketika angka kematian meningkat kepada 73 orang.
Lebih 900 orang cedera manakala hampir 60,000 penduduk dipindahkan susulan gempa bumi berukuran 7.7 magnitud yang melanda kawasan luar pesisir Pulau Flores pada Sabtu, menurut agensi mitigasi bencana BNPB.
Rumah Paulina Pobi di sebuah pulau kecil di utara Flores adalah antara ratusan rumah yang musnah akibat gempa bumi itu, dengan wanita berusia 84 tahun berkenaan tertimbus hidup-hidup di bawah runtuhan dinding buluh.
Dia kekal di situ sehingga keluarganya yang pada mulanya menyangka dia telah diselamatkan dan dibawa ke pusat perlindungan, kembali mencarinya pada Selasa.
“Kerana dia lumpuh, dia tidak dapat bergerak atau bercakap, jadi hanya pada hari keempat keluarganya akhirnya menemukannya,” kata pegawai tempatan, Rudolfus Riba kepada AFP.
“Keadaannya baik dan langsung tidak mengalami kecederaan. Dia cuma agak lemah kerana tidak makan atau minum selama beberapa hari,” kata Rudolfus.
“Rasanya seperti sesuatu yang sukar dipercayai, hampir seperti satu keajaiban.”
Lebih 3,000 gegaran susulan direkodkan sejak Sabtu, dengan sekurang-kurangnya 86 daripadanya cukup kuat untuk dirasai penduduk, menurut agensi geologi BMKG.
Gegaran itu menyebabkan ramai penduduk terlalu takut untuk kembali ke rumah mereka yang rosak.
BNPB berkata hampir 400 tan bantuan, termasuk makanan, air dan ubat-ubatan, telah dihantar sejak Sabtu.
Indonesia kerap dilanda gempa bumi kerana negara itu terletak di Lingkaran Api Pasifik, zon yang mempunyai aktiviti seismik dan gunung berapi yang tinggi, merentasi Jepun, Asia Tenggara hingga ke Lautan Pasifik.
Pada 2004, gempa bumi berukuran 9.1 magnitud di luar pantai Sumatera mencetuskan tsunami yang mengorbankan kira-kira 220,000 orang di seluruh rantau berkenaan, termasuk sekitar 170,000 orang di Indonesia. – AFP





