SIMANGGANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor menegaskan bahawa kemajuan sesebuah ummah tidak boleh diukur hanya melalui pembangunan fizikal, infrastruktur atau pertumbuhan ekonomi semata-mata, sebaliknya bergantung kepada kekukuhan institusi keluarga, keadilan serta kestabilan sosial.
Beliau berkata, keluarga merupakan unit asas paling penting dalam pembinaan masyarakat yang sejahtera dan menjadi teras kepada tema ‘Ummah Maju Makmur’ yang menekankan keseimbangan antara pembangunan material dan pembangunan insan.

“Landskap kekeluargaan hari ini semakin berdepan pelbagai cabaran susulan arus pemodenan dan globalisasi yang menyaksikan peningkatan krisis rumah tangga, konflik pasca-perceraian, pengabaian nafkah, pertikaian hak penjagaan anak serta isu pengurusan harta pusaka.
“Masalah berkenaan bukan sahaja memberi kesan kepada individu yang terlibat, malah turut menjejaskan masa depan anak-anak, kesejahteraan masyarakat dan kestabilan ekonomi negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Kefahaman Undang-Undang Keluarga Islam Sarawak 2026 di Dewan Khulafa’ Ar-Rasyidin, Masjid Bandar Sri Aman, semalam.
Dayang Noorazah berkata, berdasarkan perkongsian oleh Hakim Syarie mengenai pembubaran perkahwinan dan hak selepas perceraian, kebanyakan kelewatan penyelesaian kes di Mahkamah Syariah berpunca daripada kurangnya kefahaman masyarakat terhadap hak serta tanggungjawab masing-masing, bukannya disebabkan kelemahan sistem perundangan.
Beliau menegaskan, Islam meletakkan asas perkahwinan atas nilai kasih sayang dan rahmah, namun apabila berlaku perpisahan, keadilan tetap menjadi keutamaan bagi memastikan kebajikan bekas pasangan dan anak-anak terus terpelihara.
“Undang-Undang Keluarga Islam yang berkuat kuasa di Sarawak menyediakan pelbagai mekanisme perlindungan termasuk nafkah iddah, mutaah, hadanah dan harta sepencarian, namun manfaatnya hanya dapat dinikmati sekiranya masyarakat memahami serta menggunakan saluran yang disediakan,” jelasnya.

Menyentuh isu pengurusan harta pusaka, beliau berkata masih terdapat harta bernilai berbilion ringgit yang gagal diagihkan kepada waris akibat kelewatan menguruskan tuntutan, konflik keluarga serta kurangnya perancangan awal melalui hibah dan wasiat.
Menurut beliau, keadaan itu menyebabkan banyak tanah terbiar, peluang ekonomi terlepas dan waris yang layak terus berdepan kesukaran hidup walaupun mempunyai hak terhadap harta berkenaan.
Beliau turut memuji komitmen Jabatan Kehakiman Syariah, Pejabat Daerah dan Jabatan Tanah dan Survei Sri Aman yang sentiasa berusaha memudahkan urusan pengurusan pusaka bagi memastikan hak waris dipelihara mengikut hukum syarak dan undang-undang negeri.
Katanya, seminar itu turut mengetengahkan konsep kesepaduan agensi menerusi penyertaan pelbagai kaunter khidmat nasihat seperti Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak (JKSS), Tabung Baitulmal Sarawak (TBS), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Tabung Haji, ASNB serta Bahagian Sokongan Keluarga (BSK).
Pada majlis sama, lima keluarga asnaf di Daerah Sri Aman menerima sumbangan bakul makanan daripada Tabung Baitulmal Sarawak sebagai manifestasi bahawa kebajikan sosial perlu bergerak seiring dengan pendidikan undang-undang dan pembangunan masyarakat.
Dayang Noorazah turut menyeru 150 peserta seminar yang terdiri daripada ketua masyarakat, ketua kaum, kakitangan awam dan wakil badan bukan kerajaan (NGO) supaya menjadi ejen penyampai maklumat kepada komuniti masing-masing.
Beliau berharap segala ilmu berkaitan hak perundangan Islam, penyelesaian konflik keluarga dan pengurusan harta pusaka dapat disebarluaskan kepada masyarakat agar lebih ramai memperoleh pembelaan melalui saluran yang sah, sekali gus memperkukuh institusi keluarga sebagai asas kepada pembentukan ummah yang maju, makmur dan sejahtera.
Oleh Adi Safarman



